USUL MENGESAHKAN KEDUDUKAN PM LEBIH PENTING DARIPADA USUL LERAJAAN , TIDAK PATUT DITANGGUH TANGGUH MACAM RUU 355



Apa pun hujah serta alasan kerajaan, mereka sebenarnya tidak boleh sama sekali menangguhkan lagi usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin lebih daripada tarikh sidang Parlimen pada 18 Mei.
Ini kerana, usul tidak percaya itu adalah sangat penting untuk mengesahkan kesahihan sokongan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Sejak mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu, kedudukan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin terus menjadi pertikaian ramai dan ia diperkuatkan lagi apabila beliau membuat keputusan menangguhkan sidang Parlimen yang sepatutnya pada 9 Mac kepada 18 Mei.
Sudah tentu, jika sahih Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti yang benar-benar mantap, tidak ada sebab untuk beliau menangguhkan sidang Parlimen yang telah dijadualkan pada 9 Mac lalu.
Menangguhkan sidang Parlimen itu bermakna beliau tidak yakin dengan apa yang dimilikinya dan dengan itu memerlukan lebih banyak masa untuk menambahkan lagi sokongan.
Untuk itu, meskipun difahami bahawa meluluskan usul dan rang undang-undang kerajaan adalah keutamaan pada 18 Mei nanti, tetapi mengesahkan bahawa Muhyiddin betul-betul mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen juga adalah perkara penting untuk dimuktamadkan.
Malah, ia boleh dianggap sangat penting untuk mengelakkan Muhyiddin terus dipertikaikan, bahkan kadangkala dijadikan bahan persendaan.
Selepas kedudukannya disahkan dan tidak lagi dipertikaikan, apa usul dan rang undang-undang pun mudah diluluskan kemudiannya.
Dengan yang demikian, usul undi tidak percaya oleh Tun Mahathir Mohamad yang telah diterima oleh Speaker itu mesti diberi ruang untuk dibahas dan diundi pada 18 Mei nanti demi menjaga kewibawaan serta nama baik Perdana Menteri.
Jika sidang selama sehari itu tidak mencukupi, tempohnya wajar disemak atau ditambah kepada beberapa hari.
Bersekali dengan hal ini, Ahli-Ahli Parlimen turut wajar memberi sokongan kepada usul Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong yang juga diterima Speaker yang mana beliau telah mengemukakan usul menuntut sidang Dewan Rakyat 8 Mei nanti dilanjutkan selama 8 hari.
Setidak-tidaknya dengan Parlmen bersidang lebih daripada sehari atau sehingga 8 hari saja yang membolehkan lebih banyak rang undang-undang dan usul kerajaan, tidak terkecuali usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dapat diselesaikan.
Alasan Covid-19 untuk mewajarkan perlunya sidang Parlimen hanya diadakan selama sehari sudah tidak terpakai lagi sebenarnya berikutan keputusan kerajaan sekarang telah melonggarkan PKP dengan membenarkan banyak sektor ekonomi beroperasi sejak 4 Mei lalu.
Lagi pula, Ahli Parlimen hanya berjumlah 222 orang saja dan jumlah itu lebih sedikit daripada mereka yang bekerja di kilang-kilang, tapak pembinaan, pusat membeli belah atau di dalam gerabak keretapi atau LRT.
Ini bermakna, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan yang seolah-olah enggan memberi ruang kepada usul Tun Mahathir dibahaskan dan mengatakan sidang sehari itu hanya untuk usul-usul kerajaan saja adalah tidak relevan sama sekali.
Beliau berkata, urusan lain yang tertunggak seperti usul anggota Parlimen yang tidak sempat dibahas kali ini akan dibawa ke sidang seterusnya pada 13 Julai akan datang.
Dalam hal ini, harus difahami jika usul undi tidak percaya ini ditangguhkan lagi kepada Julai, kedudukan Muhyiddin akan terus menjadi pertikaian ramai dan akhirnya akan menyusahkan beliau sendiri dalam menjalankan tugasnya.
Malah, harus juga diingat bahawa sesuatu usul itu apabila diluluskan adalah berdasarkan tiga faktor iaitu perkara tertentu, untuk kepentingan ramai dan perlu disegerakan.
Maka, jika sesuatu usul yang telah diterima oleh Speaker untuk dibahaskan, tetapi ditangguhkan lagi sehingga dua bulan, bermakna ia tidak lagi menepati syarat ia dilulus untuk dibahaskan.
Kepada Takiyuddin yang suka-suka mengatakan usul yang tidak sempat dibentangkan pada 18 Mei ini akan dibawa kepada sidang Parlimen Julai akan datang, beliau mesti sedar bahawa usul undi tidak percaya ini bukan macam usul RUU355 yang sekadar usul geli-geli saja. (ShahbudinHusin 08/05/2020)



No comments: