Kamarudin Mohd Hussain.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain bercakap kepada media berhubung tindakan Anthony Loke buat pusingan U terhadap peraturan e-hailing dan penggunaan cermin gelap di Restoran NZ, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2019
KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) merayu kepada kerajaan dan syarikat teksi agar memberi perlepasan khas kepada ahli pertubuhan itu.
Yang Di-Pertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pendapatan ahli GTSM terjejas teruk akibat penularan Covid- 19 di dalam negara.
“Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac yang lalu bukan sahaja merencatkan ekonomi negara, malah turut memberi kesan yang sangat buruk kepada pendapatan kami.
“Kami bukan sahaja kehilangan pendapatan 100 peratus, malah di dalam ketiadaan penumpang kami masih diwajibkan menjelaskan sewaan harian sekurang-kurangnya RM50 kepada syarikat teksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, GTSM turut menzahirkan rasa kesal terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial terhadap (Perkeso) yang mewajibkan ahlinya mencarum yang kononnya demi memberi perlindungan keselamatan sosial sedangkan mereka sering menghadapi kesukaran dalam membuat sesuatu tuntutan.
“Malah jawapan Perkeso berhubung isu Covid-19 kepada kami
benar-benar mengecewakan kami, kami dimaklumkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan kepada kami bukan sahaja tidak mempunyai Skim Keilatan, malah turut tidak mempunyai Progra Pengekalan Pekerjaan (ERP), dan sekaligus tidak melayakkan kami yang mencarum di Perkeso mendapatkan bantuan RM600 yang diumumkan oleh Perkeso baru-baru ini,” ujarnya.
Menurut Kamarudin, persoalannya yang timbil mengapa selama ini ahli GTSM diarahkan dan diwajidkan mencarum di Perkeso sedangkan mereka tidak boleh membuat tuntutan mahupun menerima bantuan?
Tambah beliau, jika ahlinya gagal melakukan caruman mereka boleh dipenjara selama dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette