DAH JADI KERAJAAN KAN?



Semasa PH menjadi kerajaan, apa saja perkara atau peristiwa yang berlaku, orang Pas akan salahkan kerajaan.

Pemandu mabuk, salah kerajaan. Pramugari tak pakai tudung, salah kerajaan. Surau tak dengar azan, salah kerajaan. Pintu pagar masjid berkunci, salah kerajaan.

Sebutlah apa saja perkara tak baik, walaupun perkara itu bukan di bawah tanggungjawab kerajaan sepenuhnya, kerajaan tetap disalahkan. Setiap hari, hal itulah yang didepani oleh kerajaan PH dulu.

Misalnya, pramugari tak pakai tudung, hakikatnya bukanlah salah kerajaan sepenuhnya. Banyak pihak yang terlibat termasuk pihak swasta jika kewajipan bertudung mahu diwajibkan kepada pramugari. Banyak peraturan dan prosedur yang perlu diteliti dengan mendalam.

Pramugari berbeza dengan polis dan tentera wanita kerana polis dan tentera di bawah kerajaan sepenuhnya. Justeru penguatkuasaannya lebih mudah. Namun tak boleh dinafi, walaupun begitu, masih ada kakitangan kerajaan wanita yang belum memakai tudung.

Lebih lucu ialah, surau tak dengar azan pun salah kerajaan juga. Boleh jadi, sistem pembesar suara surau berkenaan pada pagi itu rosak, atau juru azan terlewat bangun tak diambil kira. Salahkan kerajaan lebih senang.

Itu belum lagi isu-isu besar negara seperti RUU 355, isu sijil UEC, sekolah vernakular, kes kematian Adib (semoga Allah ampuninya), kilang dan premis arak, LGBT, hina Nabi dan Islam dan banyak lagi.

Semua isu itu bukan mudah untuk diambil tindakan apatah lagi menjatuhkan hukuman kerana banyak pemegang taruh yang terlibat. 

Apatah lagi semua pemegang taruh itu pula bukanlah sekadar seorang individu tetapi kadang-kadang melibatkan kaum dan penganut agama tertentu yang tentunya rundingan mengenainya bukanlah semudah berunding menetapkan tarikh perkahwinan pasangan yang mahu kahwin segera.

Walaupun pelbagai penjelasan diberi, orang Pas tetapkan salahkan kerajaan ketika itu. Bukan setakat salahkan, bahkan pelbagai fitnah dan tuduhan dilempar sehingga ramai pemimpin dan pengikut Pas yang disaman kerana memfitnah dan menyebar berita palsu.

Hari ini Pas dah jadi sebahagian daripada kerajaan. Kritikan awalnya ialah, kerajaan yang Pas terlibat adalah kerajaan pintu belakang, tapi lebih terkenal dengan kerajaan tebuk atap.

Orang Pas tak boleh marah jika orang ramai salahkan Pas dan kerajaan kerana tubuhkan kerajaan tebuk atap. Ya, sama seperti orang Pas salahkan kerajaan dulu dalam pelbagai hal.

Hari ini orang Pas tak boleh marah apabila orang ramai sebut masjid tutup tak boleh sembahyang Jumaat kerana kerajaan. Tak dengar azan di surau kerana kerajaan. Tak boleh sembahyang berjamaah kerana kerajaan. 

Tak boleh keluar rumah kerana kerajaan. Tak boleh ziarah orang tua kerana kerajaan. Pelajar SPM tak boleh masuk kelas kerana kerajaan. Puluhan ribu pekerja tak dapat gaji kerana kerajaan.

Penerbangan tangguh kerana kerajaan. Kedai tutup kerana kerajaan. Projek tak jalan kerana kerajaan. Semuanya kerana kerajaan dan pemimpin kerajaan.

Ya, orang ramai tahu masalah Covid-19, tapi orang ramai nak kata, masalah ini juga kerana kerajaan. Dan jangan lupa, Pas yang dulunya ghairah menyalahkan kerajaan PH, pada hari mereka berada dalam kerajaan.

Maka hari ini, kami nak kata kepada Pas sama seperti Pas kata kepada kami dulu. Semua perkara yang berlaku ini, tak boleh azan, tak boleh solat Jumaat, tak boleh solat berjamaah, masjid tutup, surau tutup, pergi solat kena tangkap, semuanya salah kerajaan.

Dan, Pas dapat saham juga kerana Pas sebahagian daripada kerajaan. Apa macam? Mana Pas mau lari? Apa alasan Pas nak bagi? Tak mengaku salah?

Kamu kerajaan, kamulah yang salah, macam kamu kata kepada kami dulu.

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

No comments: