AKHIRNYA UMNO DAN PAS DIGAMBARKAN TERHEGEH HEGEH NAK GABUNG DENGAN MAHATHIR



Kenyataan terbaru Tun Mahathir Mohamad yang menafikan beliau pernah mempelawa UMNO dan Pas untuk bergabung dalam Pakatan Nasional adalah suatu berbentuk perlekehan terhadap kedua-dua parti pembangkang itu.
Ia dengan sendirinya menunjukkan Tun Mahathir mahu memperlihatkan bukan beliau yang mahu bersama UMNO dan Pas, sebaliknya kedua-dua parti itulah yang sebenarnya terhegeh-hegeh ingin bersamanya.
Dalam kenyataannya itu, Tun Mahathir berkata, adalah tidak benar beliau pernah mempelawa UMNO dan Pas untuk bergabung dalam Pakatan Nasional.
“Banyak cerita-cerita yang dibuat. Ini kerana saya terbuka, jumpa dengan semua orang (termasuk) parti lawan, NGO, badan agama dan kaum.
“Saya terbuka dengar pendapat mereka. Kalau saya tak tahu pendapat mereka, maka saya tak boleh tangani masalah yang timbul.
“Itu yang berlaku tapi ada orang tafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha untuk buat satu campuran (parti politik) baru.
“Ini tidak benar,” katanya lagi.
Persoalan yang timbul di sini mengapa baru sekarang Tun Mahathir menafikannya?
Mengapa beliau tidak membuat penafian sebelum MT UMNO bermesyuarat pada petang Jumaat lalu?
Kenapa ketika riuh rendah berhubung isu penubuhan Pakatan Nasional sejak kira-kira seminggu lalu, beliau hanya berdiam diri dan tidak berkata apa-apa, sedangkan namanya dikaitkan secara langsung dengan gabungan baru itu?
Bukankah Tun Mahathir sepatutnya boleh mengeluarkan kenyataan media untuk membuat penafian melalui laman Facebook dan Twitternya jika ia sesuatu yang tidak benar?
Apa guna media sosial kalau tidak dimanfaatkan untuk menafikan berita palsu?
Lebih daripada itu, mengapa dua tiga hari lalu ketika ditanya wartawan berhubung pembangkang yang mahu menyokongnya, Tun Mahathir berkata, beliau berasa gembira dan seolah-olah terapung dengan sokongan itu.
Kenapa ketika itu tidak terus menafikan isu Pakatan Nasional itu?
Kenapa baru sekarang menafikannya?
Adakah Tun Mahathir ingin “lepas tengkuk sendiri” dengan menunjukkan dirinya tidak terhegeh-hegeh dan sebaliknya hanya UMNO dan Pas yang beria-ia mahu bersama dengannya?
Dalam hal ini, bagaimana Pas boleh mengajak UMNO untuk bergabung dengan Tun Mahathir dalam Pakatan Nasional jika tiada pelawaan yang mereka terima?
Begitu juga, bagaimana Zahid Hamidi boleh begitu teruja untuk bergabung dengan Tun Mahathir dalam sebuah gabungan membentuk kerajaan baru kalau bukan ada pelawaan diberikan kepadanya?
Kalau pun pelawaan itu mungkin bukan secara langsung daripada Tun Mahathir, tetapi jika ia datang daripada orang-orang tertentu yang diketahui rapat dengannya, bukankah ia sama saja?
Apakah mungkin UMNO dan Pas tiba-tiba bercakap untuk bersama dengan Tun Mahathir jika tiada pelawaan atau usaha merisik dilakukan terlebih dahulu?
Tetapi, bagaimana agaknya pendirian Tun Mahathir jika mesyuarat MT UMNO Jumaat lalu membuat keputusan setuju untuk bergabung dengannya dan GPS di Sarawak tidak membuat kenyataan mahu berkecuali daripada menyertai Pakatan Nasional?
Apakah beliau tetap akan mengatakan tidak pernah membuat pelawaan juga? (ShahbudinHusin 09/02/2020)