HANYA MAJLIS PRESIDEN DAPAT MELURUSKAN LIDAH MAHATHIR YANG BERBELIT BELIT



Kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang seolah-olah ingin menyerahkan kepada Parlimen menentukan kedudukan penggantinya adalah satu lagi percubaan beliau untuk bersifat munafik terhadap janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Sikap ini juga memperlihatkan ketidakjujurannya terhadap janji peralihan kuasa yang telah dipersetujuinya dan dikonsensuskan oleh PH sejak 7 Januari 2018 lagi.
Kalau sebelum ini beliau sering mengubah-ubah ayat berhubung tempoh dua tahun sepatutnya memegang jawatan Perdana Menteri, kemudian memohon lanjutan sehingga selesai Sidang Apec pada November, seterusnya menyerahkan kepada Majlis Presiden membuat penentuan, tetapi dengan terbaru menyerahkan kepada Parlimen pula, jelas menunjukkan Tun Mahathir yang menuju usia 95 tahun adalah seorang manusia yang sentiasa lapar dengan kuasa.
Apakah Tun Mahathir sebenarnya tidak faham apabila ibunya pernah berpesan agar berhenti makan sebelum kenyang, ia sebenarnya bukanlah semata-mata dalam konteks makanan saja, tetapi juga dalam semua aspek kehidupan mestilah jangan berlebihan-lebihan?
Setelah pernah 22 tahun menjadi Perdana Menteri di era BN dan dua tahun mengetuai kerajaan di bawah BN, apakah jangka masa memegang kuasa hampir suku abad itu masih tidak mampu mengenyangkannya?
Hairan bin ajaib kita dibuatnya!!
Dalam kenyataannya semalam, di sebalik berkata akan menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar, tetapi kata Tun Mahathir, keputusan muktamad terletak kepada sokongan majoriti di Parlimen.
“Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi Perdana Menteri kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya, terutama dari majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Kalau saya tidak hendak letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya,” kata beliau.
Dalam hal ini, Tun Mahathir sebetulnya tidak perlu berbelit-belit berkaitan janji peralihan kuasa dan mengaitkannya dengan sokongan majoriti di Parlimen kerana PH sudah pun mempunyai majoriti itu sejak menang pada PRU14 lalu lagi.
Majoriti PH di Parlimen itu bukan saja membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tetapi seharusnya juga untuk Anwar sebagai penggantinya.
Kalau mahu dikaitkan dengan soal majoriti, dalam PH sendiri, Bersatu hanya memiliki 13 kerusi kemenangan di Parlimen berbanding PKR sebanyak 47 dan DAP pula 42 kerusi.
Tetapi, kenapa Tun Mahathir masih tetap dipilih sebagai Perdana Menteri?
Tentulah jawabnya kerana PH berpegang kepada janji dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sebaik PH menang PRU14 lalu tidak mahu bersikap munafik terhadao janji yang telah dkonsensuskan pada 7 Januari 2018 itu.
Oleh itu, apakah setelah PKR menunaikan janjinya, maka Tun Mahathir pula mahu mengkhianati janji peralihan kuasa kepada Anwar?
Di mana nilai kemanusiaan dan keimanan Tun Mahathir sebagai seorang muslim yang pada hakikatnya hanya menunggu detik kematian?
Soal sokongan majoriti di Parlimen tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengah atau mengelak berlakunya peralihan kuasa kerana ia adalah perkara dalaman PH yang sudah dijanjikan serta bersandarkan kedudukan majoriti PH sedia ada di Dewan Rakyat.
Lebih-lebih lagi kedudukan majoriti PH tidak berkurangan sejak tertubuhnya kerajaan pada 10 Mei 2018.
ok
Lalu, majoriti apa lagi yang dimahukan?
Yang penting, Tun Mahathir mesti menunaikan terlebih dahulu janji serah kuasa kepada Anwar dan jika selepas serah kuasa itu ada pertikaian mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri, mana-mana Ahli Parlimen boleh meminta ia ditentukan di dalam Parlimen.
Mahu tidak mahu, dalam hal ini dan sesuai dengan isu peralihan kuasa adalah soal dalaman PH yang boleh diselesaikan dengan baik secara dalaman, Majlis Presiden dalam mesyuaratnya akan datang mesti menetapkan tarikh serah kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar.
Pihak pembangkang, terutamanya Pas yang berhati hitam, tidak berhak sama sekali untuk campurtangan kerana mereka bukanlah komponen PH.
Selagi tarikh tidak ditetapkan, selagi itulah Tun Mahathir akan terus mencari helah, bukan saja untuk melanjutkan lagi tarikh penyerahan kuasa, malah mungkin dalam hatinya terselit niat untuk tidak menunaikan langsung janji tersebut.
Sekali lagi, hanya dengan Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa dengan segera saja dapat meluruskan lidah Tun Mahathir daripada terus berbelit-belit dalam berkata-kata. (ShahbudinHusin 09/02/2020)

No comments: