MAHATHIR BUKAN LUAR BIASA.JANGAN TAKUT BERLAWAN DENGANNYA



Dalam program bual bicara anjuran Otai Reformasi baru-baru ini, antara perkara yang dibangkitkan oleh hadirin ialah tentang hebat dan luarbiasanya manusia bernama Tun Mahathir Mohamad.
Ia berikutan adanya pandangan agar reformasi jalanan diadakan bagi memberi tekanan kepada beliau untuk menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang sering disebutnya sendiri.
Mereka mengingatkan bahawa Tun Mahathir adalah ahli politik yang hebat, licik dan bukan seorang yang mudah tunduk kepada tekanan serta selalu menang dalam percaturan politik yang dihadapinya.
Oleh itu, diperingatkan bahawa reformasi jalanan untuk tujuan memberi tekanan itu haruslah dirancang dengan teliti dan diperhalusi kesan serta akibatnya supaya kegagalan tidak menjadi pencapaian di penghujung perjuangan nanti.
Bagaimanapun, Otai Reformasi di akhir program bual bicara memaklumkan perancangan serta persetujuan untuk bergerak ke negeri-negeri bagi tujuan membangkitkan kesedaran tentang janji peralihan kuasa serta akhirnya mengadakan reformasi jalanan sehingga peralihan kuasa kepada Anwar benar-benar ditunaikan.
Dalam hal ini, benarkah Tun Mahathir manusia yang hebat dan luar biasa?
Secara umumnya Tun Mahathir ternampak hebat, luar biasa dan selalu menang hanyalah ketika kuasa berada dalam tangannya.
Berbanding Perdana Menteri lain, beliau dikira paling pandai, tiada perikemanusiaan dan kejam dalam mempergunakan kuasa untuk kepentingan politiknya.
Tidak kira siapa musuh politiknya, Tun Mahathir sentiasa sampai hati untuk memperlakukan apa saja kepada sesiapa yang cuba melawannya, asalkan kekuasaan kekal ditangannya.
Itulah yang menjadikan beliau mampu bertahan selama 22 tahun sebelum ini kerana kedudukannya sentiasa dipagari dengan banyak kuasa yang terkumpul di tangannya serta beliau tidak malu-malu menggunakannya.
Dalam era itu, jika diperhati, beliau tidak kisah bagaimana kotor sekali pun seseorang yang berada dalam pasukannya, yang penting mereka mesti terus menyokong dan tidak melawannya.
Tetapi, ketika tiada kuasa, Tun Mahathir bukan siapa-siapa sebenarnya. Beliau lebih kurang macam kita juga sebagai manusia biasa.
Sebab itu, selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri, beliau pernah kalah untuk menjadi salah seorang daripada perwakilan UMNO Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pada 2006.
Bermakna, tanpa kuasa Tun Mahathir tidaklah hebat berbanding ketika ada kuasa dalam tangannya.
Sebelum itu, pada 1969, beliau juga pernah kalah dalam pilihanraya di tangan Allahyarham Yusof Rawa di kawasan Kota Setar Selatan.
Tanpa kuasa, terbukti Tun Mahathir tidaklah juga sekuat mana.
Kalau begitu, kenapa Tun Mahathir berjaya menyingkirkan Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak, walaupun tanpa kuasa pada waktu itu?
Ciri penting dalam resipi kejayaannya ialah beliau sentiasa fokus, gigih berusaha dan sanggup berbuat apa saja untuk mencapai apa yang diusahakannya.
Ciri itu sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa saja, bukan merupakan suatu anugerah Tuhan kepada Tun Mahathir seorang saja.
Sebab itu, dalam usaha untuk menjatuhkan Najib, beliau sanggup bekerjasama dengan DAP yang berpuluh tahun dikutuknya serta merangkak memanjat tangga mahkamah untuk menemui Anwar untuk memulakan langkah bekerjasama dengan bekas musuh yang pernah dipecat dan dipenjarakannya itu.
Beliau juga sanggup pergi ke rumah Mohamad Sabu untuk makan malam sehingga Abang Mat terpaksa bersusah payah memasak sendiri hidangan untuknya.
Apakah jika tanpa menumpang kekuatan PH dan tidak berbaik dengan Anwar, Najib mampu ditumbangkan oleh Tun Mahathir?
Maka itu, jika sesiapa mahu berlawan dengan Tun Mahathir, mereka juga mesti fokus, gigih bekerja dan tidak menolak untuk bekerjasama dengan siapa saja bagi mencapai tujuan itu.
Itu adalah resepi kejayaan yang normal untuk semua manusia dan Tun Mahathir hanya agak ke depan dalam mempraktikkannya.
Namun, bukankah ketika ini Tun Mahathir sedang memegang banyak kuasa di tangannya, tidakkah ini akan menjadikan beliau akan hebat kembali dan sukar ditewaskan?
Memang betul Tun Mahathir ada banyak kuasa, tetapi era BN dahulu dengan era PH sekarang banyak bezanya.
Dahulunya, UMNO adalah suara majoriti dalam BN, sekarang Bersatu cuma ada 13 kerusi saja (tak dicampur dengan kerusi lompat daripada UMNO), itu pun kerusi Tanjung Piai sudah terlepas ke tangan MCA dalam PRK baru-baru ini dan ini tentulah menjadikan kekuatan Tun Mahathir jadi berbeza.
Kedudukannya sebagai Perdana Menteri sekarang banyak berbeza berbanding ketika era BN dahulu.
Selain itu, usia Tun Mahathir juga bukan muda seperti dahulu lagi. Beliau kini sudah berusia 94 tahun, tenaganya tidak lagi kuat, daya berfikir tentu tidak secerdas dulu, telinga kurang mendengar dan bercakap pun pasti tidak lancar macam orang yang lebih muda.
Begitu juga, orang kuat yang banyak membantunya seperti Sanusi Junid, Megat Junid Megat Ayob dan Aziz Shamsuddin tiada lagi bersamanya. Yang ada lagi bersamanya hanya Tun Daim Zainuddin, itu pun sudah bertongkat sekarang ini.
Semua orang keliling Tun Mahathir sekarang adalah orang-orang baru dalam politik yang tiada pengalaman mendalam dalam pencak silat politik.
Lalu, di mana dan apa luar biasanya lagi Tun Mahathir sekarang ini? (ShahbudinHusin 24/01/2020)