JIKA TIDAK SETUJU DWNGAN KERAJAAN, LEPASKAN LAH JAWATAN.



Setakat ini sekurang-kurangnya dua orang menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dzulkefly Ahmad telah tampil memberi reaksi tidak setuju dengan keputusan JPA menamatkan pemberian elaun kritikal kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain dalam pengambilan baru perkhidmatan awam bermula tahun depan.
Sementara Menteri Kesihatan hanya mengeluh dengan ciapan “Aduhh” di laman Twitternya, Menteri Belia dan Sukan sebaliknya dengan pantas membuat rakaman video dan menyebarkan melalui media sosialnya.
Dalam rakaman itu, Syed Saddiq secara jelas membantah keputusan JPA itu sambil menegaskan bahawa elaun ahli politik dan menteri sepertinya yang harus dipotong, bukan pekerja profesional dalam kerajaan tersebut.
Seterusnya, sebagai tanda simpati, beliau turut mengumumkan keinginan mengurangkan cuti tahunannya, memulangkan elaun percutian dan meneruskan pemotongan gaji bulanan sebanyak 10 peratus.
Berbanding keluhan Dzulkefly yang tidak banyak mendapat reaksi, apa yang lakukan Syed Saddiq lebih mengundang kecaman banyak pihak terhadapnya.
Ramai yang menyifatkan tindakan Syed Saddiq itu lebih bermotifkan mahu publisiti murahan dan ingin menampilkan dirinya seolah-olah pejuang rakyat, khususnya kepada anak-anak muda.
Sejujurnya Syed Saddiq harus sedar beliau kini adalah seorang menteri dan anggota kabinet, maka beliau seharusnya mendokong dan menyokong dasar serta keputusan kerajaan.
Apalagi, difahamkan keputusan JPA itu adalah berdasarkan hasil mesyuarat jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri.
Maka, sebagai menteri dan anggota jemaah kabinet, Syed Saddiq tidak boleh sesuka hati menampilkan dirinya dalam rakaman video yang dibuatnya sendiri untuk membantah perkara itu.
Beliau harus ada etika atas kedudukannya sebagai anggota jemaah menteri.
Jika mahu membantah dan tidak setuju dengan perkara itu, beliau seharusnya menggunakan saluran yang betul iaitu melalui mesyuarat kabinet yang diadakan pada setiap minggu.
Kenapa Syed Saddiq tidak boleh menunggu mesyuarat kabinet untuk menyuarakan pandangan serta bantahannya dan mengapa mesti melalui video secara terbuka?
Kalau bukan kerana mencari populariti, apa lagi tujuan dan motifnya?
Apakah Syed Saddiq merasakan dirinya masih seorang pembangkang?
Jika beliau tidak setuju dengan sesuatu keputusan kerajaan dan kalau pun tidak mahu menggunakan saluran mesyuarat kabinet, langkah yang lebih terpuji ialah meletakkan jawatan sebagai menteri.
Jika mahu umum letak jawatan, bolehlah juga diterima jika dilakukan melalui video.
Itu baru betul, itu pun kalau betul-betul beranilah!! (ShahbudinHusin 26/12/2019)

No comments: