Anwar gesa kabinet bincang semula pemansuhan elaun khidmat kritikal



Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kabinet membincangkan semula keputusan menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada penjawat awam profesional yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Beliau berkata ia bagi mengambil kira keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat berhubung perkara itu.

"Saya berpendapat perkara ini perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama 2020.

"Para menteri juga disyorkan menggunakan ruang kabinet bagi menyatakan pandangan mereka," kata anggota parlimen Port Dickson itu dalam kenyataan, hari ini.

Penamatan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling bertarikh 20 Disember lalu.

BIPK merupakan satu daripada sembilan elaun yang dihentikan kerajaan, termasuk elaun hiburan kepada setiausaha sulit, dan insentif kecekapan berbahasa Inggeris.

Mereka yang sudah menerima elaun akan terus mendapat bayaran tersebut, termasuk pekerja kontrak yang kontraknya telah diperbaharui.

Menurut soalan lazim yang disertakan dalam pekeliling JPA, jumlah elaun perkhidmatan kritikal antara 5 hingga 15 peratus berdasarkan gaji asas penerima, dengan jururawat mendapat jumlah tertinggi (15 peratus).

Antaranya pegawai perubatan, ahli farmasi dan pensyarah di kedua bidang ini menerima kadar rata RM750.

Soalan lazim itu turut menyatakan BIPK diperkenalkan kerajaan pada 1992 untuk kedudukan yang sukar dipenuhi.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, semakan 2019 mendapati kerja tersebut tidak lagi menepati kriteria yang ditetapkan, dan maka jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan tiada lagi pemberian baru untuk lantikan bermula awal tahun depan.

JPA sebelum ini menjelaskan, walaupun beberapa elaun termasuk BIPK telah dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.

No comments: