Kebebasan bersuara bukan label Malaysia negara komunis
Ruang kebebasan bersuara yang diberi Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak wajar dijadikan tiket untuk menjaja fitnah semata-mata untuk melunaskan dendam politik.
Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata semua pihak terutama penyokong dan pemimpin pembangkang harus sedar bahawa ruang yang diberikan itu adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik dan bukan sebaliknya.
“Ruang dan kebebasan bersuara yang diamalkan kerajaan HARAPAN ini sepatutnya diambil kesempatan positif dalam menjayakan agenda kematangan berpolitik dan kemajuan masyarakat.
“Sebaliknya bukan tiket untuk menyebarkan fitnah dan perkara palsu terhadap kerajaan” katanya.
Hazmi berkata begitu selepas membuat satu laporan polis terhadap seorang penceramah agama yang menjaja fitnah dengan mendakwa Malaysia adalah negara yang dipimpin pemimpin komunis.
Laporan polis itu telah difailkan Hazmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada semalam. Beberapa pimpinan pemuda dalam HARAPAN juga dilapor telah memfailkan laporan serupa.
Terdahulu, rakaman video ceramah berunsur hasutan dan fitnah diatas pentas politik yang berdurasi 16 minit itu telah dimuat naik ke laman Facebook bernama Malaysia Sentral.
Laman Facebook tersebut menamakan individu tersebut sebagai Ustaz Sharkawi Ishak.
Antara ucapan individu tersebut berbunyi:
“Kita kena sedar bahawa negara kita adalah negara komunis, kita bukan diperintah oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin Islam.
“Mereka adalah pemimpin komunis dan mementingkan bangsa mereka untuk menghancurkan negara kita Malaysia.”
Bagaimanapun, semakan mendapati video tersebut telah dipadamkan.
Sebagai rekod, sejak beberapa bulan lalu, penyokong pembangkang menyebarkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak benar terhadap kerajaan, ia termasuk dalam isu komunis dan penindasan terhadap Agama Islam. Fitnah itu diteruskan penyokong mereka di laman sosial.
Kelemahan kerajaan dalam menangani gejala fitnah ini sangat ketara, ia telah membangkitkan perasaan kurang senang terhadap penyokong kerajaan sendiri yang turut mengkritik kelemahan pemimpin kerajaan menangani isu tersebut.
Sementara itu, Hazmi mengingatkan pimpinan parti pembangkang khususnya yang menggunakan ‘jenama Islam’ mengawal dan menasihati penyokong mereka daripada melakukan fitnah yang sememangnya amat dilarang dalam Islam.
“Dakwaan yang berbaur fitnah seumpama ini tidak boleh dibiarkan menjadi barah kronik yang menghalang usaha berterusan kerajaan untuk mensejahterakan negara.
“Kita juga berharap pihak berkuasa melalui pelbagai agensi dapat memantau kejadian seumpama ini dan tindakan tegas perlu diambil sekali gus memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengulangi,” katanya.
Hazmi sementara itu berharap tindakan tegas dan siasatan lanjut akan dikenakan terhadap individu tersebut.