BAGAIMANA AMANAH YANG LEMAH MAMPU MENGALAHKAN PAS

BAGAIMANA AMANAH YANG LEMAH MAMPU MENGALAHKAN PAS

8 DISEMBER 2019

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairudin dalam satu tulisan bertajuk "Pan Amat Lemah, Tak Boleh Diharap" yang diterbitkan Harakahdaily menyentuh soal keahlian AMANAH yang menurutnya walau calon AMANAH memperoleh undi yang tinggi dalam PRU14 namun tidak sampai 3000 pengundi yang mengundi AMANAH adalah ahli AMANAH.

Menurut Khairudin, dikawasan Presiden Amanah, Mohd Sabu yang mendapat 90,697, Khalid Samad yang peroleh 55,949, Salahuddin Ayub yang peroleh 55,447 dan beberapa nama lain yang memperoleh puluh ribu undi namun tidak sampai 3000 adalah ahli AMANAH.

Dari sudut "Fakta", benar anggota AMANAH disatu satu kawasan parlimen tidak melebihi 3000 ahli, dan benar sejumlah besar pengundi AMANAH bukan ahli AMANAH.

Ahli yang sedikit, katakan ya kurang 3000 ahli di Kota Raja yang ditandingi Mohd Sabu, ini bermaksud 87,000 bukan ahli AMANAH akan mungundi AMANAH, namun dimanakah ia satu perkara yang buruk? 

Mengatakan AMANAH bergantung pada pihak lain, sebenarnya disitu kebijaksaan pemimpin AMANAH, iaitu membentuk kerjasama dengan parti parti lain lalu sebuah parti yang berusia 3 tahun sewaktu PRU14 berjaya terlibat membentuk kerajaan. 

Dalam Pakatan Harapan setiap parti adalah saling memperkukuh dan memperkuat, tiada parti yang kuat bersendiri.

Kerana itu Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera. Iaitu kerana kebijaksaan, perkara yang tiada pada pemimpin PAS sehingga kini. 

Pencapaian utama sesebuah parti politik adalah jumlah undi yang diperoleh, dan jumlah kerusi yang dimenangi, bukan semata pada jumlah ahli. 

Dalam pilihan raya yang lalu, AMANAH yang disebut "amat lemah" berjaya memenangi 32.35% dari jumlah kerusi yang ditandingi manakala Pas sebagai sebuah parti yang punyai jutaan ahli, hanya menang 11.25% dari Keseluruhan jumlah kerusi yang ditandingi.

Khairudin juga mendakwa, walaupun AMANAH hampir dua tahun  memiliki 5 Menteri dan 4 Timbalan Menteri mereka serta memiliki Ketua Menteri, EXCO Negeri dan Pengerusi GLC mereka masih tidak mampu mencuri ahli-ahli PAS. 

Benar, Pengerusi GLC dari AMANAH mungkin tidak mampu "mencuri ahli ahli Pas", jawatan yang diamanahkan tidak digunakan untuk kepentingan parti apatah lagi untuk mengumpan "ahli ahli Pas". 

Penyertaan baharu ahli AMANAH adalah konsisten dan berterusan walaupun tidak mencecah angka jutaan seperti Pas, jika sebelum PRU14 hanya sekitar 1000 ahli baharu setiap bulan manakala selepas PRU14 menyaksikan antara 7000-10000 sebulan , namun parti masih konsisten menerima keahlian baharu termasuk di Terengganu sendiri. 

Ahli ahli baharu ini masuk bukan kerana ada pak menteri, juga pengerusi GLC, sebaliknya kerana percaya pada perjuangan parti. 

Mendapatkan ahli seramai mungkin adalah gerak kerja berterusan setiap parti politik, namun hakikat sebenar jumlah ahli tidak akan menentukan kemenangan dalam PRU, kita lihat dalam PRU14 yang lalu, parti politik yang mempunyai keahlian terbanyak, iaitu UMNO dan PAS masing masing tersungkur di Putrajaya. 

Mungkin Khairudin perlu menilai semula keutamaan berpolitik,  adakah keperluan mempunyai jutaan ahli, atau mempunyai kebijaksanaan mengemudi parti. 

Sebelum mendakwa parti lain lemah, cerminlah diri parti Pas yang berusia lebih 60 tahun masih kekal sebagai pembangkang hingga kini.

Bagaimana  AMANAH memperkasa Islam sebagai sebuah parti kerajaan, AMANAH bukanlah parti penuh retorik seperti Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, cakap ceramah berapi rapi jika hudud tidak dilaksana di Kelantan akan letak jawatan Menteri Besar, begitu juga RUU355 yang menjadi modal politik dimana akhirnya Marang sendiri menangguhkan untuk dibahas.

Dalam memperjuangkan agenda memartabatkan Islam, AMANAH menerajui dasar Rahmatan Lil Alamin yang kini menjadi dasar negara. Gagasan yang diperkenalkan berjaya meyakinkan agensi dibawah pentadbiran Kementerian Hal Ehwah Agama untuk menerima dasar baharu sehingga ia mendapat  diperkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kementerian agama juga berusaha memperkasakan undang-undang Islam antaranya Rang Undang-undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan pindaan 2018 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada  April 2019 dimana pindaan ini sekaligus membolehkan semua sekolah agama termasuk tahfiz dan tadika di Wilayah berdaftar, dikawal selia oleh kerajaan. dan memjadi punca kuasa untuk campur tangan apabila berlaku masalah di mana-mana pusat tahfiz. 

Kementerian agama juga menggerakkan Rang Undang-undang (RUU) Profession Guaman Syarie Wilayah Persekutuan. Rang undang-undang itu akan menjadi model bagi penyeragaman undang-undang profesion guaman Syarie di negeri-negeri.

Kementerian turut memperkenalkan Mahkamah Khusus Kes Nafkah dan Hadhanah bagi membicarakan kes mahkamah syariah yang melibatkan tuntutan bekas isteri terhadap bekas suami yang mempastikan kaum wanita tiada yang teraniaya kesan dari penceraian.

Kementerian juga komited merealisasikan penubuhan Majlis Tahfiz Negara dan akan dilancarkan pada tahun 2020 bertujuan untuk membawa institusi tahfiz di negara  ke arus perdana. 

Majlis Tahfiz Negara berperanan mewujud dan menyelaras mekanisme pengiktirafan, memberi pengiktirafan kepada huffaz di samping memantau pematuhan standard pengiktirafan diberikan.

Hal ini merupakan tamparan kepada para penjaja fitnah yang mendakwa bahawa kerajaan tidak peduli terhadap undang-undang islam dan mahkamah Syariah.

Khairudin Aman Razali seharusnya lebih  menfokuskan untuk cuba membawa Pas untuk menyumbang kepada memperkasakan islam, bukan mengira jumlah ahli parti AMANAH, PAS sehingga sekarang tiada jasa significant dalam memperkasakan agama, namun cukup juara dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. 

Jangan pula AMANAH yang "amat lemah" ini menewaskan PAS dalam segala hal dari prestasi parti mahupun menyumbang kepada agama. 

MUAMMAR QADDAFI BIN MOHD NASIR
Setiausaha
Pemuda AMANAH Terengganu

No comments: