Umno Harus Bawa Isu UDA Ke Parlimen, Kata Rafizi





SHAH ALAM 6 JUN : Isu UDA Holding Bhd harus dibawa ke Parlimen susulan badan yang diamanahkan menjaga kepentingan bumiputera itu menanggung hutang berjumlah RM1.7 bilion, kata Pengarah Strateji Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu juga kini dibelit tuduhan memberikan kontrak Bukit Bintang City Centre (BBCC) kepada syarikat luar negara dan meminggirkan syarikat bumiputera.

BBCC adalah antara projek dibawah Trasformasi Ekonomi (ETP) yang akan dibangunkan di atas bekas tapak Penjara Pudu dan dijangka menelan belanja kira- kira RM6.7 bilion.

Rafizi berkata hanya perbahasan yang telus di Parlimen akan mendedahkan sejauh mana UDA berjaya menggalas tanggungjawab membela kontraktor bumiputera dan bagaimana syarikat itu menanggung hutang sebegitu besar.

"Saya kira yang terbaik adalah bawa isu ini ke Parlimen untuk dibincangkan dengan mendalam terutamanya, pegangan- pegangan tanah UDA dibandar yang telah dilupuskan kepada syarikat swasta yang mengkhianati tujuan asal penubuhan UDA," kata beliau kepada TVSelangor.

Rafizi berkata satu audit menyeluruh harus dilaksanakan mengenai prestasi UDA khususnya rekod syarikat itu bersabit penggunaan hartanah yang dimilikinya.
UDA Holding dibidas Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan pihak tertentu dalam Umno yang menuduh syarikat itu meminggirkan kontraktor bumiputera dalam projek turnkey BBCC.
Kritikan itu dipercayai berkait dengan kesungguhan pihak berkepentingan dalam Umno untuk membolot kontrak-kontrak lumayan ketika rakyat sedang bergelumang dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Rafizi bagaimanapun isu syarikat bumiputera dinafikan kontrak turnkey BBCC harus dikupas dari sudut sejauh mana UDA menjalankan tanggungjawabnya selama ini.
"Perkara yang lebih besar adalah UDA bukan sahaja tersimpang daripada matlamat asal penubuhannya, tetapi sebaliknya kita mendapat maklumat UDA menjual tanah- tanah diberikan kepada UDA Holding," tambah beliau," kata Rafizi.

UDA Holding ditubuhkan pada 12 November 1971, untuk memastikan penyertaan kontraktor bumiputera dalam sektor hartanah di bandar.

Namun setelah diswastakan pada tahun 1996, UDA Holding mengalami masalah kewangan yang kronik.

Laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini memaparkan satu muka surat penuh temubual ekslusifnya dengan Pengerusi UDA, Datuk Nurjazlan Mohamed.

Jazlan tanpa berselindung memberitahu UDA Holding menanggung bebanan hutang RM900 juta tidak termasuk RM800 juta yang dihutang kepada Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional.
Syarikat itu perlu memperuntukkan RM15 juta untuk membayar faedah tahunan ke atas hutang-hutang itu.

Rafizi berkata, Jazlan sepatutnya berhati- hati dalam mendedahkan kedudukan kewangannya.

"Datuk Nur Jazlan harus berhati- hati dalam membuat komen. Kalau diberi gambaran dengan hutang RM700 juta dan pelbagai tanda- tanda dan bukti bahawa kewangan UDA Holding sekarang sesak teruk, sepatutnya pemegang saham dan badan- badan yang dipertanggungjawabkan termasuklah kementerian kewangan sepatutnya telah lama ambil tindakan," tegas Rafizi.

Rafizi menambah beliau sebenarnya simpati kepada Jazlan kerana diberi bebanan untuk mewarisi sebuah syarikat yang korup sejak sekian lama.

"Saya bersimpati dengan Datuk Jazlan sebab dia mewarisi syarikat yang sudah lama korup sehingga menanggung hutang jutaan ringgit," kata Rafizi.

Mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar UDA Holding membentangkan laporan bersabit projek BBCC di kabinet, Rafizi berkata, arahan sedemikian seharusnya dibuat lebih awal dan bukan selepas kewangan UDA Holding tenat.

"Bukan sekaranglah Tan Sri Muhyiddin patut buat kenyataan seperti itu, sepatutnya kalau beliau, Perdana Menteri, Najib Razak dan UMNO peka kepada badan- badan yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan bumiputera, masalah kewangan UDA ini patutnya dikesan sejak dari dulu," katanya.

No comments: