Dakwaan Jenayah Turun Adalah Cerita Dongeng, kata Teresa




SHAH ALAM 6 JUN : Dakwaan kerajaan kononnya kadar jenayah susut 10 peratus empat bulan pertama tahun ini adalah "dongeng" kerana rakyat masih mengkhuatiri keselamatan diri, kata Exco Selangor, Teresa Kok.

Teresa berkata desakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa masyarakat perlu mengubah persepsi keselamatan diri jelas menunjukkan beliau gagal memahami perasaan orang awam.

Muhyiddin membuat dakwaan kononnya jenayah susut hanya untuk mencanang Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebagai satu kejayaan walaupun hakikat adalah sebaliknya, kata beliau.
" Kebiasaanya bila Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor dan pemimpin negara kita menggunakan statistik NKRA untuk membuktikan bahawa kadar jenayah telahpun turun orang ramai memang tidak akan percaya," teresa memberitahu TVSelangor.
"Ini kerana ramai antara mereka merupakan mangsa jenayah khususnya di kawasan-kawasan bandar. Jadi kita tak tahu macam mana polis dan NKRA perolehi data statistik sebegitu,”kata beliau yang juga Pengerusi DAP Selangor.

Muhyiddin semalam dilaporkan berkata, kerajaan dan Polis mahu mengubah persepsi masyarakat mengenai kadar jenayah dalam membentuk keyakinan masyarakat terhadap keselamatan negara.

Beliau berkata masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa kadar jenayah masih meningkat sedangkan statistik rasmi menunjukkan penurunan.
Menurut beberapa pihak hakikat disebalik penurunan kadar jenayah itu adalah kurang orang melaporkan kes jenayah kerana hilang keyakinan terhadap polis.
Manakala semakin banyak penduduk kawasan perumahan mengadakan rondaan bersama untuk mengekang kecurian dan pecah masuk rumah yang semakin meningkat.
Muhyiddin bagaimanapun mendakwa kaji selidik Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM, jenayah keseluruhan menurun sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

No comments: