Gugurkan ‘pendakwaan politik’ ke atas Anwar – NGO antarabangsa


(Oleh Azuan Abd Rahman)
Human Rights Watch (HRW) menggesa Kerajaan Malaysia menggugurkan “pendakwaan bermotifkan politik” terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Desakan NGO hak asasi antarabangsa itu disiar dalam  portal berita antarabangsa Time.
HakimKini, hanya tinggal kira-kira empat hari lagi sebelum keputusan kes Fitnah II dimuktamatkan oleh Mahkamah Persekutuan, yang dijadual pada 28 dan 29 Oktober ini.
Timbalan Pengarah HRW bagi Asia, Phil Robertson dipetik berkata, pemenjaraan Anwar melalui kes Fitnah II kali ini sebagai usaha terdesak bagi menamatkan karier tokoh politik berpengaruh berusia 67 tahun itu.
Tegas Robertson, pihak berkuasa Malaysia perlu menggugurkan kes tersebut atau berdepan risiko mempersendakan sistem keadilan jenayah di negara ini.
Sementara itu, Anwar dipetik bercakap kepada portal itu berkata, peluangnya ‘tidak kelihatan baik’.
“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak percaya saya akan mendapat perbicaraan yang adil atau keputusan berdasarkan fakta undang-undang.
“Tetapi saya ingin menunjukkan kepada generasi muda bahawa keyakinan saya adalah satu pengorbanan yang perlu dibayar dalam memperjuangkan kebebasan dan keadilan,” tegasnya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan Anwar dari tuduhan tersebut.
Pendengaran kes tersebut yang sepatutnya diadakan pada April telah dipercepatkan dan dipercayai sebagai usaha menghalang beliau dari bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang diadakan pada 23 Mac lalu.
Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menyaksikan Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar memenangi 52% undi popular  sementara undi yang diraih Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merosot kepada 47%, di mana ini adalah pencapaiaan terburuk sepanjang pemerintahan BN.
Banyak pihak termasuk pemerhati bebas mendakwa, berlaku penyelewengan dalam pilihan raya tersebut termasuk menggunakan kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya secara meluas, namun dinafi kerajaan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63611

No comments: