BUNG BELUM LAGI-SABAH DAILY

Zizie-Bung Moktar nikah? Ibu nafi tapi restu

Pelakon Zizie Izette yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin belum bernikah dan tidak ada sebarang majlis resepsi dalam waktu terdekat ini.

Demikian reaksi ibu Zizie, Khaty Fauziah berhubung laporan konon anaknya sudah bernikah dengan Bung Moktar, wakil rakyat dari Sabah itu.

Malah semalam Bung Moktar juga menafikan desas-desus sudah berkahwin dengan aktres itu.

Menurut Khaty, apa yang dilaporkan dalam laman-laman web semuanya tidak benar dan sebagai ibu sudah tentu beliau paling sibuk ketika ini menyelenggarakan majlis pernikahan anaknya.

“Sumpah demi Allah, Zizie belum bernikah lagi. Kalau ada, saya akan jemput anda semua datang majlis perkahwinannya,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Pada masa yang sama, Khaty memberitahu, dia merestui Zizie untuk bernikah dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya termasuk Bung Moktar.

“Kalau sudah jodoh anak saya dengan beliau (Bung Moktar) saya terima seadanya.

“Ajal, maut dan pertemuan semuanya kerja Allah, siapa saya untuk menghalang semua ini daripada berlaku,” jelasnya.

Khaty yang tidak menafikan pernah beberapa kali bertemu Bung Moktar menyifatkan wakil rakyat itu sebagai seorang lelaki yang baik hati dan jujur.

“Tidak hairanlah kenapa beliau disayangi oleh masyarakat di kawasannya serta disenangi banyak pihak,” katanya menggambarkan peribadi Bung Moktar.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) itu sudah menyuarakan hasrat untuk meminang Zizie, Khaty berkata perkara itu hanya berlaku antara mereka berdua.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Zizie bahawa Bung Moktar ada melamarnya sebagai isteri tetapi itu antara mereka berdua, tidak lagi secara rasmi melalui saya,” katanya.

Sepanjang perbualan dengannya, telefon bimbit Khaty tidak putus-putus berdering dan sebilangan besar panggilan itu diterimanya daripada wartawan yang inginkan pengesahan pernikahan anaknya itu.

Laporan itu menyebut pada pertemuan tersebut Khaty turut memohon kerjasama semua pihak agar tidak membesar-besarkan cerita peribadi anaknya.

“Saya harap semua pihak faham keadaan Zizie. Bukan mudah untuk dia membuat keputusan kerana ada hati yang perlu dijaga.

“Semua orang sedia maklum, beliau (Bung Moktar) sudah berkeluarga dan ada hati yang perlu Zizie jaga. Kami tidak mahu membiarkan hati pihak lain terguris,” pinta Khaty dalam nada yang sebak.

Khaty sedar apabila anaknya dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang, sudah tentu mereka sekeluarga akan menerima tempiasnya.

Namun dalam hal ini, Khaty tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak meskipun hati kecilnya sedikit tersinggung dengan pandangan negatif setengah pihak.

“Anak saya bukannya muda lagi. Dia sudah 31 tahun, sudah matang. Selama 14 tahun bergelar artis, sudah banyak pengalaman yang dilaluinya,” katanya.

Beliau juga percaya Zizie akan membuat pelbagai pertimbangan dan mengambil kira banyak hal sebelum membuat keputusan bernikah apatah lagi dengan suami orang.

Khaty turut membawa wartawan Utusan dan Kosmo meninjau kediamannya di Bukit Antarabangsa bagi membuktikan tidak ada sebarang persiapan majlis pernikahan Zizie dengan Bung Moktar. -MI

No comments: