Zamzuri Ardani
Singapura pernah haramkan judi. Masa tu orang Singapura nak berjudi, mereka akan datang berjudi di Genting Highland Pahang Darul Makmur.
Ketua Menteri Tamil Nadu yang baru tidak mengharamkan arak. Dia hanya mengarahkan sekitar 700 kedai arak yang hampir dengan sekolah, hospital, stesen bas, dan rumah ibadat ditutup. Di tempat-tempat lain, tiada halangan.
Perkara ini boleh berlaku dan tidak menjadi kontroversi kerana ia dibuat tanpa membawa naratif agama dan kaum. Ia dibuat atas isu ekonomi dan sosial.
Di Turki, Erdogan pernah cuba memperkenalkan undang-undang membenarkan lelaki berpoligami secara sah. Poligami adalah amalan yang biasa dilakukan oleh lelaki Turki terutama di kawasan pendalaman. Tetapi undang-undang Turki tidak membenarkan poligami. Hanya seorang isteri sahaja yang boleh didaftarkan sebagai isteri yang sah mengikut undang-undang Turki. Di sana poligami adalah jenayah yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun.
Erdogan gagal dalam usahanya mengubah undang-undang berkenaan poligami ini kerana ia dianggap sebagai 'memperkenalkan undang-undang berasaskan kepercayaan agama'.
Masyarakat sekular di Turki menentang keras usaha ini.
Kerajaan Kedah mahu mengharamkan judi. Saya sokong usaha mahu mengharamkan judi. Dari sudut sosial dan ekonomi, judi tidak membawa kebaikan.
Tetapi bila MB Kedah kata beliau lakukan ini 'kerana Allah yang suruh', bagi saya ini satu pembohongan atas agama. Tidak ada nas yang qathie yang menyuruh pemerintah Islam menghalang orang bukan Islam dari aktiviti judi. Larangan berjudi yang dinyatakan di dalam Al Quran dan Hadith hanyalah ke atas orang Islam.
Kerajaan Negeri bagi saya boleh mengharamkan judi ke atas bukan Islam, tetapi bukan atas alasan 'Allah yang suruh'. Ini kerana ianya tidak betul. Tidak ada nas yang sebut 'Allah suruh haramkan judi ke atas orang bukan Islam'. Benda yang Allah tak suruh, kita jangan memandai-mandai kata Allah suruh.
Akhirnya bila isu ini dibawa ke Mahkamah, ianya didapati bercanggah dengan Perlembagaan Negara.
Amirul Mukminin Umar Al
Khattab pernah mengharamkan para sahabat Nabi dizamannya dari mengahwini wanita dari kalangan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani). Waktu itu Islam sedang berkembang ke wilayah Rom dan Farsi.
Bila Huzaifah Al Yaman bertanya apakah ini perintah agama, Umar Al Khattab menjawab ianya bukan perintah agama, tetapi Umar RA bimbang amalan ini akan menjadi ikutan ramai menyebabkan nanti wanita-wanita Arab terpinggir dari mendapat jodoh. Umar bimbang berlaku masalah sosial di kalangan wanita Arab.
Walaupun apa yang dihasrat oleh Umar RA itu baik dari pandangan agama, baginda tidak pula mengatakan ianya perintah agama.
No comments:
Post a Comment