...
...
Nazri Haris
#Ceritera1
Satu negara gempar (ye ke? ) dengan pengumuman mutakhir daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ramai yang mula menuding jari. Ramai juga yang meluahkan rasa keliru.
“Eh, bukankah kita sudah ada Akta Lompat Parti?”
“Bagaimana pula dengan denda RM10 juta yang perlu dibayar kepada PKR sekiranya keluar parti?”
Inilah yang kita kena tahu.
Dalam dunia politik yang penuh dengan strategi, perbezaan antara "terperangkap" dan "bebas"
ahli politik adakalanya hanya bergantung pada satu perkara...
"Seni memanipulasi.. "
...
...
#Ceritera2
=Langkah Pertama: Mengosongkan Kerusi, Bukan Melompat=
Kebiasaan yang kita lihat sebelum ini, mana-mana ahli politik yang mahu beralih arah akan mengumumkan keluar daripada parti asal mereka,
tetapi pada masa yang sama, mereka tetap mempertahankan jawatan dan kerusi Parlimen yang dimenangi.
Itulah tindakan klasik yang mencetuskan penggubalan Akta Lompat Parti.
Namun, dalam sidang media di Petaling Jaya baru-baru ini, Rafizi memilih jalan yang berbeza sama sekali.
RR tidak melompat.
Sebaliknya, dia mengosongkan kerusi Parlimen Pandan terlebih dahulu.
Tindakan ini secara rasmi memulangkan semula mandat kepada rakyat.
Apabila kerusi dikosongkan, status beliau sebagai wakil rakyat secara automatik tergugur demi undang-undang.
Apabila mandat sudah dipulangkan kepada rakyat untuk menentukan semula melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), isu "melompat parti" demi mengekalkan kuasa tidak lagi timbul.
...
...
#Ceritera3
=Langkah Kedua: Celahan Perundangan Pampasan RM10 Juta=
Bagaimana pula dengan isu saman pampasan atau bon bernilai RM10 juta yang sering menjadi 'pernikahan' buat ahli PKR yang ingin berpaling tadah?
Rafizi mendedahkan satu fakta undang-undang yang sangat penting.
Perjanjian atau bon RM10 juta tersebut mempunyai syarat yang sangat spesifik dan ketat.
Bon itu hanya sah dan boleh dituntut sekiranya seseorang individu keluar daripada parti dan menyertai parti lain dalam statusnya sebagai seorang Ahli Parlimen.
Di sinilah letaknya kebijaksanaan aturan tindakan beliau.
Oleh sebab Rafizi telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusinya terlebih dahulu, dia bukan lagi seorang Ahli Parlimen.
Maka, apabila beliau dijadualkan keluar daripada PKR pada hari Selasa berikutnya, beliau berbuat demikian atas kapasiti sebagai anggota biasa parti sahaja.
Secara teknikal dan perundangan, syarat pelanggaran bon tersebut gagal dipenuhi oleh pihak parti asal untuk membuat tuntutan.
Ikatan perjanjian pampasan itu terbatal dengan sendirinya kerana subjek utama perjanjian, iaitu status sebagai Ahli Parlimen sudah tidak wujud.
Surat perletakan jawatannya sebagai ahli parlimen pun sudah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.
...
...
#Ceritera4
Tindakan ini memaparkan sisi dinamik percaturan politik apabila digabungkan dengan kefahaman teks perundangan yang mendalam.
Tindakan pasukan RR memilih untuk keluar daripada 'rumah' selepas menyerahkan kembali kunci kepada pemilik asalnya,
iaitu rakyat, sehinggakan tiada ruang untuk undang-undang sedia ada menghukum mereka.
Namun, daripada sudut pandang yang lebih luas, peristiwa ini memberikan kita satu refleksi yang mendalam tentang sistem perundangan tanah air.
Begitulah akta yang dibuat manusia.
Tiada yang sempurna.
Semuanya ada cacat cela.
Sehebat mana pun sesuatu undang-undang itu digubal dengan niat untuk menutup ruang salah laku atau pengkhianatan politik,
pasti akan sentiasa ada 'lohong' atau celah (loophole) yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang bijak membaca,
dan mentafsir perkataan demi perkataan dalam teks perundangan tersebut.
...
...
#Ceritera5
Persoalannya sekarang, adakah langkah ini satu prinsip perjuangan yang bermaruah kerana sanggup memulangkan mandat kepada rakyat,
atau sekadar satu lagi manipulasi undang-undang yang sangat licik?
...
Begitulah hidup di Malaysia ini, warna warni politiknya cepat sangat saling bertukar.
Pada pendapat aku, sebagai rakyat biasa dan menyokong penjimatan di musim yang penuh krisis ini, elakkan pilihanraya yang tak merubah apa-apa.
Kalau nak buat juga?
Serentakkan semua sekali.
Sekali jalan, jimat.
Kan?

No comments:
Post a Comment