
MCMC memaklumkan tiga daripada lima individu berkenaan telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan pada 2 April 2026. Foto MCMC
PUTRAJAYA, 2 Apr – Buat para pemfitnah di luar sana, awas dengan tindakan anda apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap lima individu disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
MCMC memaklumkan tiga daripada lima individu berkenaan telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Menurut aduan diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua individu berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.

“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
MCMC juga memberitahu pihaknya telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada pihak mereka, sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk tujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan agar bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi hingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
No comments:
Post a Comment