Anak Muda MADANI Kedah Bantu Dua Beradik Bersekolah – Zuraidi

 

NGO Anak Muda MADANI Kedah, Dato’ Zuraidi Rahim tampil membantu Siti Nur Jamilah bersama Muhamad Rizhan Rizqi Redzuan (kiri) dan Muhamad Raiqal Rayyan kembali ke sekolah. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

KUALA NERANG, 2 Apr – Kemiskinan bukan lagi menjadi suatu fenomena di negara ini tetapi setiap daripada mereka seharusnya dibantu, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak yang masih bersekolah bagi mengubah kehidupan sekarang.

Di saat rakan sebaya melangkah ke sekolah setiap pagi, dua beradik di Naka, di sini, pula membesar tanpa pernah mengenal bilik darjah dan guru akibat kesempitan hidup keluarga.

Muhamad Rizhan Rizqi, 9, dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan, 8, yang masing-masing sepatutnya berada di Tahun Dua dan Tiga, hanya menghabiskan masa di rumah tanpa mendapat pendidikan formal.

Ibu mereka, Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, berkata kehidupan keluarganya semakin mencabar selepas dia bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu, manakala ibunya yang sering membantu pula meninggal dunia.

Katanya, situasi itu menyebabkan dia hilang arah untuk menguruskan persekolahan anak.

“Memang saya mahu mereka bersekolah, tetapi kesempitan hidup membuatkan saya tak tahu bagaimana nak uruskan semuanya.

“Namun, saya bersyukur akhirnya ada pihak sudi membantu menguruskan persekolahan anak saya dan membeli kelengkapan diperlukan untuk mereka belajar,” katanya ditemui di rumah mereka di Taman Naka Jaya di sini, semalam.

Siti Nur Jamilah yang juga ibu tunggal tiga anak itu berkata, sebelum ini dia berniaga makanan, namun terhenti akibat pandemik COVID-19 dan kini bekerja sambilan membantu rakan berniaga dengan pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari bagi menyara keluarga.

Lebih perit, katanya, rumah mereka sudah tiada bekalan air dan elektrik, hanya bergantung kepada lilin pada waktu malam.

“Bekalan air dan elektrik dipotong kerana saya tak mampu membayar bil, telefon pula terpaksa dicas di tempat lain menggunakan power bank.

“Kami hanya menggunakan lampu suluh atau lilin, jiran juga banyak membantu dan kadang-kadang mereka hulurkan makanan untuk kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan kes berkenaan dan menganggap isu keciciran pendidikan seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Bila dapat tahu, saya terus turun padang bersama guru dan menghubungi pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) untuk tindakan segera.

“Kita akan masukkan dua kanak-kanak ini ke sekolah harian bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri secara berperingkat. Mereka juga akan dijadikan anak angkat saya,” katanya.

Beliau berkata, semua keperluan persekolahan akan disediakan bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi pembelajaran tanpa halangan.

“Saya juga akan bantu selesaikan isu bekalan air dan elektrik di rumah mereka.

“Paling utama sekarang, mereka dapat belajar kerana pendidikan sangat penting untuk masa depan,” katanya.

Zuraidi kemudian membawa kanak-kanak itu membeli pakaian dan kelengkapan sekolah bagi membolehkan mereka ke sekolah dalam masa terdekat.



No comments: