Artikel ini terbahagi kepada dua bahagian: Bahagian A membincangkan alasan dan cadangan pembangkang, dan bahagian B adalah ulasan saya yang membangkitkan dua cara leraikan isu ini, termasuk satu cara yang tidak disebut-sebut oleh pembangkang.
Akan ada live kas untuk membincangkan perkara ini malam ini.
------------------------------
A. ALASAN DAN CADANGAN PEMBANGKANG
Pembangkang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil cuti sementara ketika isu campur tangan dalam pelantikan hakim masih hangat. Motivasi dan sebab di sebalik desakan ini termasuk:
1. Prinsip Integriti & Konflik Kepentingan
Pembangkang berhujah bahawa Anwar mempunyai potensi konflik kepentingan, kerana beliau terlibat dalam proses yang akhirnya melibatkan hakim – termasuk pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan titah adendum Diraja Najib, yang kesnya dibicarakan di mahkamah.
Dengan mengambil cuti, Perdana Menteri interim boleh menguruskan urusan mengikut Perkara 122B Perlembagaan, memastikan proses itu bebas dari persepsi sandungan atau campur tangan eksekutif.
2. Penghapusan Persepsi Prasangka
PN mendakwa, tanpa cuti, keputusan pelantikan hakim-hakim tinggi boleh dianggap dipengaruhi oleh PM — terutamanya apabila pelantikan Terrirudin dianggap “outsider” dan tidak melalui saluran biasa JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman).
Langkah itu dilihat boleh mengurangkan keyakinan rakyat bahawa integriti badan kehakiman dipelihara.
3. Kes Sivil Yusoff Rawther dan Imuniti PM
Sebelum Mahkamah melepas dan membebaskan Yusoff Rawther, Anwar menfailkan pemula rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan jika beliau boleh mendapatkan imuniti bersyarat sebagai PM atas beberapa persoalan perlembagaan.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut dan menyatakan tiada asas undang-undang bagi mana-mana PM untuk mendapatkan imuniti sivil berdasarkan Perlembagaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan penangguhan (stay) prosiding sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Oleh kerana rayuan kini di peringkat Mahkamah Persekutuan, timbul soal jika Anwar menasihati Yang Di-Pertuan Agong berhubung pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persektuuan, sebegitu rupa supaya barisan hakim kanan yang baharu memihak kepadanya dan/atau kerajaan.
Situasinya akan menajdi lebih rumit jika Ahmad Terriruddin, yang dikatakan "orang luar" dan tidak dicalonkan oleh JAC, dinaikkan sebagai Ketua Hakim Negara.
4. PM Interim sebagai Mekanisme Penyelesaian
PN mencadangkan pelantikan Perdana Menteri Interim untuk menggantikan Anwar buat sementara—khususnya dalam hal-hal berkaitan pelantikan hakim dan rundingan dengan istana — agar tidak wujud konflik, atau tanggapan tugasan membuat keputusan di tangan individu yang terlibat secara langsung dalam kes semasa.
----------------------
B. ULASAN SAYA
1. Semua hujah yang dibangkitkan dalam bahagian A menunjukkan secara jelas kewujudan konflik kepentingan jika Anwar terus memiliki kuasa berperlembagaan untuk terlibat dalam proses pelantikan hakim.
2. Namun, jika Anwar bercuti sementara kes beliau selesai, dan jika Timbalan Perdana Menteri menggalas tanggungjawab Perdana Menteri, konflik kepentingan tetap wujud, kerana Anwar masih Perdana Menteri yang sah dan mengetuai kabinet yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri.
3. Untuk Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri Interim, perdana menteri semasa perlu meletak jawatan atau hilang kepercayaan majoriti — bercuti sahaja tidak mencukupi secara perlembagaan.
4. ini bermakna kerajaan akan tumbang secara otomatik, dan tugas Perdana Menteri interim boleh digalas oleh sesiapa sahaja asalkan bergelar ahli Dewan Rakyat.
5. Bila kerajaan sudah tumbang, konflik kepentingan yang telah saya bangkitkan dalam poin bernombor 2 di atas masih lagi wujud atas sebab yang telah saya utarakan dalam poin bernombor 12 dan 13 di bawah (rujuk nanti).
6. Maka, salah satu cara untuk leraikan isu ini ialah jika Anwar letak jawatan.
7. Seterusnya, Yang Di-Pertuan Agong bebas melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Interim bagi tempoh singkat (contohnya, dua hari atau seminggu) sehingga pencalonan/pelantikan semua hakim (samada telah atau bakal bersara) selesai.
8. Kemudian, setelah mengumumkan keputusan muktamad senarai pelantikan hakim baharu (samada yang sudah atau bakal bersara), Agong bebas untuk melantik semula Anwar sebagai Perdana Menteri atau menilai jika Anwar masih memiliki sokongan majoriti.
9. Alternatifnya, Anwar boleh terus kekal sebagai Perdana Menteri dan mengusulkan pengisytiharan Darurat Kehakiman kepada Yang Di-Pertuan Agong
10. Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, dan satu ordinan darurat (undang-undang darurat) digubal dan diwartakan agar struktur pentadbiran negara diubah sementara waktu, termasuk:
a. Pemindahan kuasa eksekutif kepada satu jawatankuasa khas atau badan interim,
b. Penggantungan fungsi biasa Parlimen, atau
c. Penggantungan (sementara) proses sedia ada bagi pelantikan hakim.
11. Seterusnya, pencalonan hakim-hakim baharu oleh JAC boleh dipanjangkan oleh jawatankuasa yang berkaitan kepada Yang Di-Pertuan Agong, dengan Darurat dikekalkan sehingga semua kes Anwar selesai perbicaraanya di Mahkamah.
12. Apa pun, saya tetap persoalkan motif pembangkang, kerana pembangkang yang sama turut pernah menekan Perdana Menteri untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun, yang sememangnya bercanggah dengan kehendak pembangkang "membebaskan sistem kehakiman dari pengaruh kerajaan atau politik."
13. Bagi saya, ini serupa dengan campur tangan politik oleh pembangkang untuk memastikan siapa yang duduk sebagai Ketua Hakim menepati kehendak pembangkang, dan ini dengan sendirinya merupakan konflik kepentingan.
14. Justeru, Darurat Kehakiman hanya akan bermakna jika ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim baharu tidak membabitkan ahli-ahli parlimen dari blok kerajaan atau pembangkang.
15. Mungkin Yang Di-Pertuan Agong boleh memilih ahli-ahli jawatankuasa ini dari kalangan orang awam yang dikenali atau dihormati atau dari kalangan tokoh-tokoh politik yang sudah bersara dan dianggap tidak berpihak.
RJ Rithaudeen

No comments:
Post a Comment