Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya, Razali Che Ani memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin ketika pengurusan kes hari ini.
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan mahkamah, pihaknya memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang itu bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 berhubung kes hasutan anak guamnya pada 4 April lalu.
“Untuk makluman mahkamah, pihak kami telah memfailkan afidavit sokongan dan kami juga akan memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonan tersebut.
“Memandangkan notis permohonan itu belum dimeterai, kami memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya dan memohon kehadiran anak guam dikecualikan pada prosiding akan datang,” katanya yang turut dibantu peguam Joshua Tay.
Hakim kemudian menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes selanjutnya dan membenarkan permohonan pembelaan agar kehadiran pengerusi Perikatan Nasional itu dikecualikan pada prosiding akan datang.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Muhyiddin, 77, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam 14 Ogos 2024.
Kenyataan itu berhubung dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen ketika itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi, Nadia Mohd Izhar dan Abdul Malik Ayob.
No comments:
Post a Comment