IDRUS IBARAHIM
“Bebalism” itu suatu penyakit halus yang tidak kelihatan pada jasad, tetapi menjalar pada akal dan hati. Ia bukan kerana tiada sekolah, bukan juga lantaran miskin harta. Tetapi kerana hati telah dikunci, akal telah dibelenggu, dan mata telah buta kepada hikmah.
Mereka yang terjangkit bebalism itu akan melihat cahaya sebagai kegelapan, dan mengira kegelapan itu petunjuk. Mereka benci pada ilmu yang menyuluh, dan kasih pada cakap kosong yang memuji diri. Jika ditegur, mereka marah. Jika diajak berfikir, mereka mencemuh.
Bebalism bukan sekadar tidak tahu. Ia adalah keengganan untuk tahu. Ia adalah kesombongan yang berselindung dalam kebodohan, dan kebodohan yang dibajai dengan kesombongan. Dan apabila bebalism menjadi budaya, maka tumbuhlah pemimpin-pemimpin yang membanggakan diri dengan kejahilan, dan masyarakat pun bersorak kepada fatamorgana.”
No comments:
Post a Comment