Nik Hasyudeen
Siapa kata skim cepat kaya yang sahih tak wujud. Cuma, ianya hanya boleh dimainkan oleh orang-orang yang betul-betul kaya sahaja.
Elon Musk, seorang yang berasal dari Afrika Selatan, membelanjakan kira-kira $150 juta bagi membiayai kempen pilihanraya Presiden Donald Trump. Apabila Trump menang, nilai saham-saham Musk naik sebanyak $213 bilion kerana dia dianggap akan menjadi orang yang berpengaruh di dalam kerajaan Trump 2.0.
Musk dijanjikan sebagai ketua satu unit baharu, Department of Government Efficiency (DOGE). Di antara sasaran DOGE ialah mengurangkan perbelanjaan kerajaan Amerika sebanyak $ 2 trillion. Jadi, Musk dilihat sebagai seorang yang amat berpengaruh di dalam agenda ekonomi Trump.
Baru-baru ini Kongres yang diketuai oleh Parti Republikan mahu meluluskan satu rang undang-undang perbelanjaan yang dipersetujui bersama dengan Parti Demokrat. Musk tak suka dengan rang undang-undang berkenaan dan menciap berkenaan hal itu di platfom X yang dia miliki. Trump campur tangan dan rang undang-undang berkenaan ditarik balik.
Sebelum kita mengutuk Elon Musk (nak buat apa lagi selain dari mengutuk kerana hanya itulah yang mampu kita buat), kita kena perhatikan macamana Musk boleh mengambil peluang dari pemilihan Trump ini. Musk memiliki beberapa syarikat yang berasaskan teknologi yang kompetitif, antaranya:
1. Tesla
2. Space X
3. X (walaupun tak menguntungkan, Musk guna X untuk menyebarkan pengaruh)
Jadi, apabila dia dianggap berpengaruh, pelabur akan membeli saham-saham syarikat ini kerana Musk dijangka akan menyalah gunakan kedudukan beliau untuk menguntungkan perniagaan beliau melalui perubahan polisi kerajaan, kontrak dan sebagainya.
Walaupun mungkin ada di antara kita yang percaya pelabur-pelabur Barat ni jujur dan mahu membawa kebaikan kepada dunia, mereka semua hanya ada satu tuhan, wang. Jadi, mereka dengan tidak malu-malu turut mengambil kesempatan dari pengaruh Musk.
Sebenarnya bukan Musk sahaja yang naik nilai hartanya, di dalam atrikel Fortune yang saya kongsikan di ruangan komen, ramai lagi yang beruntung dengan pemilihan Trump termasuk Jensen Huang dan Mark Zuckerberg.
Moral cerita ini ialah jika nak main skim cepat kaya macam ini, kita sendiri kena mampu membawa perkara-perkara hebat yang ada nilai, bukannya menjadi juara mempertikai apa sahaja yang bergerak dan terbang.
Malangnya disebabkan kita malas nak menggunakan otak untuk mencipta nilai, ramai yang nak menjadi juara mempertikai sahaja.