UCAPAN PMX MENYINGGUNG SOAL KENAIKAN RINGGIT

 


Semasa berucap di Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) pagi ini, saya menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua penjawat awam, agensi dan syarikat MOF, selain badan swasta dan rakyat seluruhnya yang turut berperanan dalam menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi dan pemulihan kekuatan ringgit mutakhir ini.







Ringgit yang ditutup lebih tinggi ketimbang dolar Amerika Syarikat (AS) buat 11 hari berturut-turut setakat semalam merupakan tempoh terpanjang dalam 14 tahun. Peningkatan ini telah membawa nilai ringgit ke paras tertinggi ketimbang dolar AS dalam tempoh 14 bulan. Insya-Allah, sekiranya momentum pertumbuhan berterusan, nilai ringgit akan terus didagang lebih tinggi dalam bulan-bulan mendatang.


Kekuatan ringgit dewasa ini mungkin bermula dengan perpindahan modal dari AS dek kelemahan dolar dan penanda aras ekonomi mereka, namun pengkritik tidak boleh memungkiri kenyataan bahawa ringgit meningkat dengan lebih memberangsangkan ketimbang mata wang kebanyakan negara lain, termasuk negara tetangga. 


Berpandukan Ekonomi MADANI, saya berharap ikhtiar mereformasi ekonomi terus dilipatgandakan supaya limpahan manfaat boleh diagihkan semula kepada rakyat yang saya akui sebilangannya masih terkesan dengan bebana sara hidup. 


Hatta, saya menggesa perkara ini diberi tumpuan khusus dalam persediaan pasukan MOF merangka Belanjawan 2025 termasuk memperinci langkah-langkah jitu yang boleh mengekang masalah kartel, pencatutan harga, ketirisan serta rasuah yang masih merobek kekayaan negara.


#MalaysiaMADANI



No comments: