JIKA PILIHANRAYA DIADAKAN PUN. IANYA TIDAK AKAN MENJEJASKAN PMX.


 SYABAS SPEAKER DUN KELANTAN…


Pertama sekali diucapkan syabas kepada Speaker Dun Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah kerana tanpa berlengah lagi telah menunjukkan keberaniannya mengisytiharkan kerusi Dun Nenggiri sebagai kosong.


Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuatnya susulan DUN Kelantan telah menerima notis bertulis daripada Bersatu mengenai kedudukan Mohd Azizi Abu Naim yang terlucut keahliannya daripada Bersatu.


Dengan tergugur keahlian itu bermakna berlaku kekosongan kerusi Dun Nenggiri yang kini didudukinya.


Kata Mohd Amar, keputusan tersebut adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan.


Di samping merupakan Adun Nenggiri, Mohd Aziz juga adalah Ahli Parlimen Gua Musang yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama lima lagi Ahli Parlimen yang lain.


Lima Ahli Parlimen terbabit ialah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).


Kesemua mereka di atas, termasuk Abdul Rashid Asari (Adun Selat Kelang) telah diisytharkan terhenti keahlian daripada Bersatu berikutan tidak akur dengan ketetapan parti agar tidak memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.


Dengan keputusan Nik Amar itu, Speaker Parlimen, Johari Abdul sudah tidak ada pilihan lain melainkan perlu juga mengisytiharkan enam kerusi Parlimen yang pemimpinnya telah terlucut keahliannya daripada Bersatu sebagai telah berlaku kekosongan.


Adalah menjadi lawak jenaka dan kartun politik jika Speaker Parlimen tidak sependirian dengan apa yang telah diputuskan Speaker Kelantan itu.


Lebih bahaya lagi, keputusan yang berbeza itu juga boleh merebak kepada kemungkinan berlakunya krisis perlembagaan dalam negara ini.


Dalam waktu yang sama, sudah pasti rakyat akan turut melihatnya sebagai keputusan yang berunsur politik kerana enam Ahli Parlimen itu memihak kepada Anwar.


Bahkan nama Anwar yang selama ini memperjuangkan Akta Lompat Parti sehingga ia menjadi kenyataan lebih tercemar jika Speaker membuat keputusan tiada pilihan raya semula.


Mengadakan pilihan raya semula di enam kawasan terbabit bukan saja jalan paling selamat untuk membersihkan alam politik negara ini daripada mereka yang berjiwa khianat, bahkan bagi memastikan nama Perdana Menteri sentiasa terpelihara.


Lagi pula, sokongan enam Ahli Parlimen yang digelar “enam jahanam” itu tidak memberi apa-apa nilai tambah pun kepada Anwar.


Tiada mereka, Anwar dan kerajaan perpaduan tidak rugi apa-apa.


Mereka malah merupakan beban kepada Anwar dan PH di waktu sekarang dan untuk menghadapi PRU16 akan datang.


Sekembalinya Johari daripada menunaikan haji nanti dan sebaik mendapati notis daripada Bersatu sudah ada di meja pejabatnya, beliau tidak harus bertikir panjang lagi dalam membuat keputusan.


Keputusan paling tepat, rasional dan wajar hanyalah satu – enam kawasan Parlimen terbabit mesti diisytiharkan kosong dan perlu diadakan PRK.


Nik Amar telah menunjukkan jalan yang betul yang harus Johari ikuti. – ShahbudinHusin19Jun2024


https://shahbudindotcom.net/2024/06/19/syabas-speaker-dun-kelantan.html



No comments: