Terdapat sesetengah pihak seperti cuba menghasut Pendaftar Pertubuhan atau RoS agar menolak pindaan perlembagaan yang diluluskan Bersatu, Sabtu lalu.
Alasan mereka, jika pindaan itu diluluskan, ia akan menyebabkan enam pilihan raya kecil atau PRK terpaksa diadakan yang pastinya akan mengakibatkan banyak perbelanjaan wang kerajaan perlu dikeluarkan.
Kata mereka lagi, kos mengadakan PRK bukan ada harga rahmah atau harga madani yang perbelanjaannya boleh dimurahkan.
Dengan maksud lain, mereka sebenarnya mahu biarlah enam Ahli Parlimen Bersatu itu kekal menyokong Anwar Ibrahim sehingga PRU16 akan datang melalui tidak lulusnya pindaan perlembagaan itu oleh RoS.
Aduhhh…apa punya jenislah mereka yang berfikiran begitu!!
Saya sudah sebut dalam artikel sebelum ini bahawa kedudukan Anwar dan kerajaan madani tidak terjejas sama sekali jika ketiadaan sokongan daripada “enam jahanam” Ahli Parlimen Bersatu yang mengalihkan sokongan itu.
Anwar masih lagi stabil dan mampu mengemudi kerajaan madani ini sehingga PRU16 akan datang selagi UMNO, GPS dan GRS kekal bersamanya.
Dengan itu, adalah lebih baik diadakan semula PRK di enam kawasan berkenaan demi membersihkan politik negara daripada mereka yang khianat, belot, tiada kesetiaan dan suka menjual sokongan.
Membersihkan politik daripada segala kekotoran tersebut adalah lebih berharga berbanding kos yang terpaksa dibelanjakan kerajaan bagi membiayai PRK yang diadakan itu.
Lagi pun, jika PRK terpaksa diadakan, ia bukanlah salah kerajaan atau Bersatu, tetapi disebabkan tindakan enam Ahli Parlimen berkenaan yang tiada kesetiaan, nipis jiwa perjuangan dan lebih memikirkan peruntukan.
Kalau dah namanya wakil rakyat pembangkang, rakyat pun secara umumnya boleh faham bahawa mereka tidak ada peruntukan seperti Ahli Parlimen kerajaan.
Sudah ramai Ahli Parlimen selama ini melalui kehidupan sebagai wakil rakyat tanpa peruntukan, bahkan boleh dikata semua parti telah ada pengalaman seperti itu.
Tidak ada peruntukan, jalanilah kehidupan sebagai Ahli Parlimen tanpa peruntukan dan janganlah bergaya berlebih-lebihan.
Selain itu, apakah hanya dengan ada peruntukan saja baru seseorang itu boleh menjadi Ahli Parlimen yang berkesan?
Yang lebih penting lagi, selepas PRK nanti dan Ahli Parlimen baru dipilih rakyat, kalau ada di antara enam kawasan itu berjaya dimenangi PH/BN, ia dengan sendirinya bermakna kerajaan madani semakin diterima pengundi dan beroleh sokongan yang benar-benar yang asli.
Katakah kalau kalah pula di semua enam kawasan tersebut, Anwar dan kerajaan madani tak perlu susah hati kerana selain kedudukan kerajaan tidak tercarik walau sehelai benang, Perdana Menteri pun tak perlu “pening kepala” lagi memikirkan nak melayan Ahli Parlimen yang hanya datang dengan sokongan palsu kepadanya.
Mereka yang baru terpilih nanti adalah Ahli Parlimen PN tulen yang tidak mungkin beralih sokongan dan kerajaan lebih mudah menghadapi nmereka sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang zahir dan batinnya adalah pembangkang.
Maka itu, daripada sudut mana yang lebih baik untuk Anwar, meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu itu adalah lebih tepat untuk diambil oleh RoS.
Tambahan lagi, UMNO dan DAP juga telah lebih dulu melakukan pindaan dalam perlembagaan parti masing-masing sebelum ini bagi menghalang wakil rakyat mereka mengalih sokongan kepada pihak lain.
Oleh kerana RoS tiada masalah meluluskannya, maka akan jadi peliklah kalau pindaan perlembagaan Bersatu ini tidak diluluskan.
Dengan turut meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu ini, RoS malah dengan sendirinya akan terhindar daripada cemuhan sebagai alat politik, selain dapat menyumbang ke arah memperlihatkan Anwar yang memimpin kerajaan madani ini tidak berganjak daripada pendirian tegas menolak amalan politik khianat dan lompat yang dilaungkan sejak dulu lagi. – ShahbudinHusin 04/03/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/03/04/kos-prk-adalah-isu-kecil-ros-perlu-luluskan-pindaan-perlembagaan-bersatu-demi-pertahan-imej-anwar.html