KEPUTUSAN MAHKAMAH BERHUBUNG ENAKMEN SYARIAH PERNAH ADA DULUAN, KELANTAN HARUS CONTOHI NEGERI SEMBILAN Shahbudin Husin

 

Kelantan harus mencontohi Negeri Sembilan, yang meminda enakmen syariahnya selepas kalah dalam kes terhadap Juzaili Khamis di Mahkamah Rayuan pada 2015, kata G25.

Kumpulan bekas penjawat awam kanan itu berkata, dalam kes itu, mahkamah memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia melanggar peruntukan kebebasan asasi.

“Kerajaan Negeri Sembilan mematuhi penghakiman Mahkamah Rayuan itu. Pada 2019, kerajaan negeri mengambil inisiatif meminda Seksyen 66 sewajarnya agar peruntukan itu selaras dengan Perlembagaan.

“Mahkamah Rayuan juga memutuskan, walaupun Perkara 3(1) mengisytiharkan bahawa Islam ialah agama persekutuan, namun amalan Islam di negara ini ditadbir oleh peruntukan-peruntukan Perlembagaan.

“Perkara 3(4) mengisytiharkan bahawa tiada apa-apa jua dalam perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan,” katanya sambil menambah, menjadi tanggungjawab negeri untuk memastikan enakmen selaras Perlembagaan.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, penasihat undang-undang negeri perlu berpengetahuan dalam undang-undang Perlembagaan.

Mereka mesti sentiasa berwaspada ketika undang-undang digubal oleh negeri dan berani menasihati kerajaan negeri mengenai pembahagian kuasa perundangan antara negeri dan persekutuan, serta had kuasa perundangan negeri, katanya.

“Kami amat berharap kerajaan Kelantan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dengan semangat yang betul dan melakukan yang sewajarnya untuk meminda kanun jenayah syariah negeri.”

Semalam, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen syariah Kelantan kerana didapati bercanggah dengan Perlembagaan.

Mengumumkan keputusan majoriti 8-1 panel hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, DUN tiada kuasa meluluskan peruntukan-peruntukan berkenaan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit sudah dirangkumi undang-undang persekutuan.

Dalam pada itu, G25 menzahirkan kebimbangannya berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, semalam.

Beliau melabel keputusan mahkamah itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.

“Beliau sepatutnya menasihati orang ramai supaya menghormati penghakiman Mahkamah Persekutuan dan mengambil iktibar daripada keputusan itu, bukannya mengambil kesempatan mempolitikkan isu itu.”

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/10/keputusan-mahkamah-berhubung-enakmen-syariah-ada-duluan-kata-g25/

 


No comments: