Adakah kita di ambang Perang Dunia Ketiga?


 

Kita semua perlu memikirkan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengurangkan ketegangan global dan mewujudkan keamanan yang lebih berkekalan di dunia

By

 Johan Saravanamuttu


Follow us on our Malay and English WhatsApp, TelegramInstagramTiktok and Youtube channels.

Kebanyakan orang barangkali ada mendengar kenyataan oleh bekas Presiden AS Donald Trump pada 30 Januari bahawa kita kini berada di ambang Perang Dunia Ketiga.

Peristiwa yang mencetuskan kenyataan Trump ini ialah serangan dron ke atas pangkalan tentera Amerika, dikenali sebagai Tower 22, di sempadan Jordan-Syria. Peristiwa ini mengakibatkan tiga askar AS terbunuh dan mencederakan kira-kira 34 yang lain.

Sebagai tindakan balas, AS telah melakukan serangan ke atas 85 sasaran di Syria dan Iraq dan 36 sasaran Houthi di 13 lokasi di Yaman.

Apabila ditanya soalan beberapa minggu sebelum itu semasa kempennya di Iowa, Trump menjawab: “Kita kini paling hampir dengannya (Perang Dunia Ketiga).”

Beliau mengambil kesempatan untuk mengecam Presiden Joe Biden kerana ketidakcekapannya dan kegagalannya untuk menghalang peristiwa yang membawa AS kepada keadaan semasa.

Kenyataan Trump mengenai perkara ini cukup mementingkan diri sendiri dan terlalu semberono. Walau bagaimanapun, adalah benar yang hal ehwal global hari ini telah mencapai detik bersejarah yang cukup menyukarkan.

Dalam surat berita ini, saya ingin kembali kepada beberapa perkara yang saya bangkitkan dalam penulisan di Aliran pada Oktober lalu. Harap bersabar dengan saya, memandangkan betapa pentingnya topik ini.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran

·         Become an Aliran member

Tel: 04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com

Peperangan dan perlumbaan senjata tanpa henti

Dunia sememangnya berada pada saat yang berbahaya.

Hanya sedikit percikan untuk mencetuskan Perang Dunia Pertama: pembunuhan Archduke Franz Ferdinand dari Empayar Austro-Hungary pada 28 Jun 1914 itulah yang mencetuskan perang.

Bagi Perang Dunia Kedua, ia boleh dikatakan mengambil masa yang lebih lama untuk peristiwa-peristiwa ini kemudiannya merebak ke seluruh dunia: peperangan yang dicetuskan oleh Adolf Hitler dari Jerman di Eropah dan kemasukan Jepun dalam perang di Asia Timur. AS memasuki perang agak lewat, selepas pengeboman Jepun di Pearl Habor pada 7 Disember 1941.

READ MORE:  'Blessed are the peacemakers'

 

Jadi, serangan dron di Tower 22 (yang didakwa ada kaitan dengan Iran) adalah kejadian yang tidak menyenangkan, tetapi ia tidak pula boleh disamakan dengan serangan Pearl Habor.

Bagaimanapun, apa yang terjadi adalah dek kerana peningkatan serangan hari ini di mana AS, Rusia, Israel dan sekutu mereka kini terlibat.

Oktober lalu, saya menyedari bahawa terdapat 110 konflik bersenjata yang sedang berlaku di seluruh dunia. Apa yang telah mengekalkan apa yang kita fahami sebagai keamanan hari ini, secara teori, adalah pencegahan nuklear berdasarkan doktrin “mutually assured destruction” (MAD).

Tiada kuasa nuklear mahu berperang dengan yang lain, yang akan saling membawa kemusnahan bersama mereka. Inilah yang telah menghalang kita daripada melakonkan semula ‘detik Oppenheimer’ yang menyaksikan penggunaan bom nuklear pertama di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.

Namun, adakah keadaan di Abad ke-21 kini telah berubah sehinggakan doktrin MAD telah menjadi hipotesis yang lemah? Perhatikan perkembangan berikutnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ya, lihatlah bagaimana perlumbaan senjata nuklear telah meningkat ke tahap yang berbahaya (rujuk peta di bawah):



Perhatikan bagaimana walaupun terdapat dua kuasa besar nuklear, banyak negara lain turut memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT), yang ditanggapi sebagai kejayaan diplomasi kuasa besar, tidak menghalang negara yang bercita-cita tinggi.

Sekutu AS dan Rusia – Belgium, Jerman, Itali, Belanda, Turki dan Belarus – juga mempunyai senjata nuklear di wilayah mereka.

Oleh itu, seseorang boleh berhujah bahawa teori MAD telah dilemahkan oleh pertambahan senjata yang sedemikian rupa di luar liputan serta kawalan kuasa-kuasa besar.

Siapa yang boleh mengatakan bahawa negara penyangak yang mempunyai nuklear tidak akan melakukan perkara yang tidak dijangka satu hari nanti? Sekiranya berlaku serangan nuklear di mana-mana, sekutu kuasa besar berkemungkinan besar akan diseret sama ke dalam kancah peperangan.

READ MORE:  Why do we still have war in this world?

 

Pada 21 Februari 2023, Presiden Vladimir Putin menggantung penyertaan Rusia dalam Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu 2010 (New START – Strategic Arms Reduction Treaty). Ia sekali gus bermakna berakhirnya kawalan senjata oleh dua kuasa besar nuklear.

Sebuah lagi perkembangan membimbangkan ialah kuasa besar juga sedang membangunkan senjata hipersonik yang boleh membawa hulu peledak nuklear yang sukar dikesan oleh radar.

Perang Ukraine, yang bermula pada Februari 2022 (walaupun Crimea telah diambil alih pada 2014), berterusan tanpa henti. Penganalisis telah menawarkan beberapa kemungkinan, namun saya rasa ia akan berterusan menemui jalan buntu untuk beberapa tahun lagi sebelum kita melihat sebarang prospek rundingan bagi menyelesaikannya.

Ada yang meramalkan bahawa naiknya Trump menjadi presiden boleh membawa penyelesaian kepada perang ini. Senario terburuk ialah perang boleh merebak menjadi perang kesemua negara Eropah. Saya teragak-agak untuk meramalkan sesuatu yang spesifik kecuali perang ini akan terus menyemarakkan perlumbaan senjata antara Barat, Rusia dan sekutunya.

Akhirnya, peperangan di Gaza sekarang bukan sahaja berterusan tetapi mencipta bencana kemanusiaan yang tidak terkata dengan pembunuhan lebih 26,000 orang awam Palestin. Israel telah mengabaikan keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan ini.

Hakikatnya, Israel langsung tidak boleh dihalang atau dikawal dalam cita-citanya untuk menjajah Gaza, dan ini adalah cukup membimbangkan. Semua orang boleh melihat kekurangan kapasiti atau kuasa PBB untuk mengurangkan masalah, apatah lagi memastikan gencatan senjata. Ia adalah sebuah kesimpulan yang cukup menyedihkan tentang keadaan kemanusiaan kita hari ini.

Jadi, jika insiden Tower 22 bakal mencetuskan peningkatan konflik dengan penglibatan AS yang lebih besar, ia akan menghasilkan lebih banyak ketidakstabilan di Timur Tengah, bersama-sama dengan aktiviti Houthi semasa di Laut Merah.

READ MORE:  Norman Finkelstein vs Alan Dershowitz on Israel-Palestine war with Piers Morgan

 

Kawasan permusuhan and keganasan lain boleh muncul di seluruh dunia termasuklah juga pertembungan di antara dua Korea, Taiwan dan Laut China Selatan.

Trump barangkali mempunyai agenda tersendiri dalam menyatakan kita kini berada di ambang Perang Dunia Ketiga, tetapi inti kebenarannya tidak pula boleh diabaikan.

Ia sepatutnya membuatkan kita semua duduk dan memikirkan tindakan yang boleh diambil oleh kita sebagai individu yang waras dalam mengurangkan ketegangan global dan mewujudkan keamanan yang berkekalan di dunia.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
6 Februari 2024

Terjemahan oleh: Zikri Rahman