PAS TAK MUNGKIN BERJAYA TARIK PENGUNDI BUKAN MELAYU, KECUALI JIKA HADI AWANG UNDUR DIRI


Berucap merasmikan Mukfamar Pas semalam, Hadi Awang mengarahkan ahli parti itu supaya berusaha menarik sokongan pengundi bukan Melayu setelah berjaya menguasai sokongan pengundi Melayu.


Kata Presiden Pas itu, bedah siasat mendapati bahawa mereka masih lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu.


“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan sekarang adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam menghadapi PRU16 akan datang.


“Perkara ini penting untuk dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” kata beliau.


Menurut Hadi lagi, disebabkan lemah dalam sokongan bukan Melayu itu, Pas dan PN gagal memperolehi kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.


Berdasarkan arahan serta penegasaan terbaru ini, ia menunjukkan Hadi akhirnya sedar bahawa Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa dan semua kaum adalah penting untuk disantuni.


Menoleh ke belakang, terutama sejak Pas meninggalkan Pakatan Rakyat atau PR pada 2015, Pas yang dibawah kepimpinan Hadi sebenarnya mulai rosak dalam arah tuju dalam perjuangannya.


Sejak itu, Pas bukan saja banyak menghentam bukan Melayu, malah menjadikan bukan Melayu sebagai musuh mereka dengan pelbagai sentimen serta retorik bersifat perkauman.


Sentimen Melayu/Islam yang ekstrem sering dimainkan dengan sewenang-wenangnya dan tanpa kawalan sehingga seolah-olah semua masalah dalam negara ini dicetuskan oleh bukan Melayu.


Tidak cukup dengan Pas seronok mengatakan bukan Melayu sebagai punca berlakunya rasuah di negara ini, label kafir harbi juga turut dijaja dengan meluas dan digunakan di luar konteks tanpa hikmah.


Slogan Islam For All yang pernah dilaungkan sebelum ini lantas dikebumkan tanpa nisan.


Semua ini, mahu tidak mahu, walaupun berjaya menjadikan sokongan Melayu melimpah, tetapi dalam masa yang sama menyebabkan undi bukan Melayu makin menjauh.


Akhirnya siapa yang rugi?


Agaknya setelah berjaya berada dalam kerajaan selama 33 bulan sebelum ini dan keseronokan mendapat pelbagai nikmat masih menghantui kenangan, Pas kini akhirnya tersedar bahawa sokongan pengundi Melayu saja tidak mencukupi untuk memegang kuasa dan mengecap kembali nikmat dunia.


Selama ini mereka ingat dengan sokongan pengundi Melayu saja sudah cukup untuk beroleh kuasa.


Mentadir Kelangan dan Terengganu saja bolehlah dengan sokongan pengundi Melayu semata-mata.


Bolehkah Pas mendapat sokongan bukan Melayu dalam keadaan sekarang ini?


Harus diakui, sejak Hadi memimpin Pas, khususnya selepas 2015, orang bukan Melayu di negara ini sebenarnya sudah banyak terluka dan dilukakan hati mereka oleh Ahli Parlimen Marang itu.


Penyebabnya tidak lain melainkan disebabkan cara pemikiran dan keceluparan insan yang bernama Hadi Awang yang ingin bermusuh dengan bukan Melayu dan bukan Islam.


Untuk itu, jika ingin terbuka laluan dan terlihat kemungkinan ada lorong untuk Pas memperolehi sokongan bukan Melayu, ia hanya boleh berlaku jika setelah Hadi bukan lagi memimpin Pas.


Pilihannya adalah salah satu – tunggu dua tahun lagi dan ketika itu Hadi mesti tidak menawarkan bertanding lagi sebagai Presiden Pas atau, beliau secara sukarela, sedia meletak jawatan dalam waktu terdekat ini.


Hanya jika Pas dipimpin oleh pemimpin yang sederhana saja memberi kemungkinan pengundi bukan Melayu boleh didekati.


Selagi Hadi memimpin Pas, selagi itu bukan Melayu akan menjauhi Pas dan impian untuk beroleh sokongan bukan Melayu tak ubah umpama mimpi akibat terlelap selepas waktu Asar. – ShahbudinHusin 21/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/21/pas-tak-mungkin-berjaya-tarik-pengundi-bukan-melayu-kecuali-jika-hadi-awang-undur-diri.html