Pendapat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Yassin dalam ceramahnya sebelum ini yang mengeluarkan hukum 'haram' mengundi calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil parlimen Pulai, Suhaizan Kayat perlu diulas atau diperbetulkan oleh pihak berkuasa agama.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan yang
dibuat Mahiaddin itu menjurus ke arah kafir mengkafir kerana mengeluarkan hukum
tanpa dasar yang jelas.
"Saya agak terkejut bila datang Johor hari ini, bila
ditunjukkan kepada saya tentang kenyataan yang dibuat Muhyiddin Yasin yang
menyangkut politik kafir mengkafir, politik takfiri.
"Haram mengundi PH. Saya terkejut, satu ketika dahulu (waktu
dalam UMNO) apa dia kata kepada Pas, Pas ini 'Parti Ajaran Sesat'.
"Saya agak bimbang kalau Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis
Fatwa Negeri Johor tidak mengambil langkah dan tindakan yang wajar ke atas
budaya politik yang dibawa Muhyiddin ini, termasuk dari Pas, ianya sangat
merbahaya dan boleh mengundang keadaan yang buruk, bukan sahaja perhubungan
masyarakat Islam dan bukan Islam tetapi antara sesama Islam itu sendiri,"
katanya.
Justeru, Mahfuz menyeru rakyat Johor tidak termakan dengan
pendapat songsang Mahiaddin kerana Johor sebelum ini belum pernah mempunyai
sejarah politik takfiri dan seharusnya keadaan tersebut dikekalkan.
"Saya terkejut bila Johor dibawa dengan budaya politik
seperti ini, dia akan menjadikan keadaan huru hara dalam politik Johor,"
katanya lagi.