TUN MAHATHIR CALON PM SEKALI LAGI, BAKAL BERTANDING DI KELANTAN SELEPAS PRN?



Di ketika pemimpin-pemimpin PH begitu yakin kerajaan perpaduan tidak akan tergugat, meski apa pun keputusan PRN pada 12 Ogos nanti, malah Anwar Ibrahim sendiri menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan pimpinannya adalah kukuh, stabil serta sukar dijatuhkan, khabar terbaru ini barangkali tidak harus dientengkan begitu saja.


Berdasarkan hubungan Pas dengan Tun Mahathir yang kian akrab sejak kebelakangan ini, difahamkan kini sudah ada rancangan untuk memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri itu kembali sebagai Ahli Parlimen selepas berakhirnya PRN akan datang ini.


Sudah tentu, syaratnya ialah jika PN beroleh keputusan cemerlang berjaya menawan lima negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan atau sekurang-kurangnya memenangi semua kawasan Melayu di enam negeri yang terlibat PRN itu.


Diberitakan kerusi yang akan diberi laluan untuk Tun Mahathir bertanding itu ialah di Kelantan di mana seorang Ahli Parlimen Pas dikatakan sudah sedia untuk berkorban mengosongkan kerusinya bagi tujuan tersebut.


Langkah tersebut adalah menyamai seperti mana dilakukan Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Danial Balagogal Abdullah yang mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding pada 2018 lalu.


Jika Anwar diberi peluang menjadi Ahli Parlimen itu untuk tujuan menjadi Perdana Menteri, memberi laluan kepada Tun Mahathir juga adalah dengan maksud yang sama.


Tindakan Pas sedia memberi laluan untuk Tun Mahathir bergelar Ahli Parlimen di Kelantan itu adalah semata-mata untuk memungkinkan lagi Anwar dapat dijatuhkan.


Dua kombinasi – kemenangan cemerlang PN dalam PRN dan kembalinya Tun Mahathir bergelar Ahli Parlimen – dilihat satu-satunya resepi asakan yang paling berkesan menjadikan apa yang dirancang benar-benar menjadi kenyataan.


Dalam hal ini, kesediaan Pas memberi laluan kepada Tun Mahathir bertanding di Kelantan difahamkan juga bukan saja sebagai perkiraan Hadi Awang untuk meletakkan Pas mencipta sejarah di mana Ahli Parlimen parti itu akhirnya berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri buat pertama kali, malah untuk tujuan mengangkat negeri Melayu dan Islam iaitu Kelantan dan Terengganu lebih banyak menerima limpahan pembangunan selepas itu.


Selain itu, di sebalik gegak-gempita yang berterusan mahu menjatuhkan kerajaan, Pas juga dikatakan menyedari bahawa PN tiada calon Perdana Menteri yang benar-benar berwibawa bagi menggantikan Anwar.


Sementara Mahiaddin tergolong dalam kluster mahkamah dan tidak sesuai diangkat sekali lagi sebagai Perdana Menteri, Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang pula dianggap belum cukup merit untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dalam keadaan politik yang amat mencabar ketika ini.


Pas melibat hanya Tun Mahathir yang sesuai dalam menerajui gerakan menumbangkan Anwar dan seterusnya mengambil alih kerusi Perdana Menteri serta menerajui negara, selain bekas Perdana Menteri dua kali itu juga dipercayai mampu menarik sokongan sebahagian Ahli-Ahli Parlimen UMNO/BN yang kemudian dipercayai akan diikuti dengan sokongan daripada Sabah dan Sarawak akan turut menyusul.


Apa pun, penentuannya ialah keputusan PRN pada 12 Ogos ini.


Di zahir mata, memang kerajaan Anwar ternampak kukuh, sukar digugat serta memiliki sokongan majoriti dua pertiga, malah Ketua Menteri Sabah dan Sarawak juga dilihat kerap bersamanya.


Cuma, Anwar jangan sesekali leka serta sentiasalah berhati-hati kerana pujangga juga kerap meninggalkan pesan – adalah biasa dalam politik, kawan dan musuh boleh menukar kiblat sokongan mereka sesingkat dua minit sekali. – ShahbudinHusin 30/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: