LETAK JAWATAN BUKTI AZALINA AKUR DIA BUAT SALAH KEPADA PM

 

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said akhirnya meletakkan jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Dilaporkan, beliau telah menghantar surat perletakan jawatannya pada 29 Ogos lalu iaitu dua hari selepas menyampaikan ucapan di majlis taklimat khas UMNO di WTCKL pada 27 Ogos.

Dalam majlis yang diadakan susulan pemenjaraan Najib Razak itu, Azalina secara terbuka mengkritik dan mengajar Perdana Menteri berhubung keperluan menukar Peguam Negara.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri perlu melantik daripada “orang dia “sebagai Peguam Negara untuk memudahkan segala urusan.

“Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh,” katanya yang jelas ditujukan kepada Perdana Menteri.

Dalam kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri semalam, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan menerima hasrat Azalina untuk meletakkan jawatan itu.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri telah menerima peletakan jawatan beliau dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September,” kata kenyataan itu.

Dalam bahasa yang mudah difahami, selain terus diberi cuti dalam tempoh notis sebulannya, bermakna Azalina tidak lagi diperlukan untuk datang ke pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Tindakan Azalina meletakkan jawatan adalah dipercayai berikutan desakan pelbagai pihak terhadapnya kerana tindakannya yang dianggap tidak beretika mengkritik Perdana Menteri secara terbuka.

Walaupun pada mulanya beliau menafikan berkenaan perletakan jawatannya, ia menjadi kenyataan juga sudahnya.

Dengan akhirnya akur untuk meletakkan jawatan, Azalina dalam hal ini dengan sendirinya menyedari tentang kesalahan serta perlanggaran etika yang telah dilakukannya.

Kalau tidak salah dan yakin tindakannya betul, buat apa letak jawatan?

Malah, bagi kebanyakan orang dalam UMNO sendiri, mereka mengatakan Azalina sepatutnya meletakkan jawatan lebih awal lagi sebelum mahu mengkritik Perdana Menteri secara terbuka.

Beliau ternampak tiada adab dan mencemar budi bahasa dalam dirinya sendiri, kata seorang pemimpin UMNO.

Begitu pun, Azalina yang sebelum ini berjawatan penasihat khas di Pejabat Perdana Menteri dan boleh dikira tergolong dalam kelompok “kluster Putrajaya”, melalui kritikannya kepada Perdana Menteri dan disusuli meletak jawatan, beliau secara langsung telah mencampakkan dirinya sebagai penyokong “kluster mahkamah” UMNO.

Adakah ini menguntungkannya? – ShahbudinHusin 02/09/2022.



No comments: