Budaya “biasa-biasa sahaja”

 

NIK HASYUDEEN


Budaya “biasa-biasa sahaja”

Di dalam pengurusan organisasi, di antara perkara yang merosakkan secara senyap-senyap ialah membudayakan “biasa-biasa sahaja” atau pun apa yang omputih panggil “mediocrity”.

Ianya umpama api yang membakar di dalam sekam. Tidak nampak apinya tetapi akhirnya habis sekam menjadi abu.

Di antara contoh-contoh budaya ini di dalam organisasi ialah:

1. Nampak macam sibuk bekerja tetapi tidak ada apa yang dihasilkan.

2. Bekerja tanpa memahami halatuju dan akhirnya organisasi tak ke mana-mana.

3. Perkara yang boleh disiapkan dalam sejam dua mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan.

4. Benda yang sepatutnya dibeli dengan harga RM 1 dibayar dengan harga beringgit-ringgit.

5. Walaupun sudah RM 6 bilion dibayar, sebiji kapal LCS pun tak siap (didalam konteks keselamatan negara, ini mungkin sudah menjadi pengkhianatan).

Janganlah diharapkan organisasi boleh jadi cemerlang sekiranya “biasa-biasa” sudah menjadi budaya. Yang lebih teruk ialah apabila orang-orang yang mahu menjadi cemerlang dianggap kacau daun kerana menyebabkan apa yang sudah dibiasalan nampak benar-benar lembab dan menjijikan. Maka tekanan dibuat ke atas orang yang nak cemerlang itu agar “kembali ke pangkal jalan” dan menjadi biasa-biasa sahaja.

Apabila budaya biasa-biasa sudah menjadi endemik (diterima ramai) maka sebuah negara pun boleh “maju” ke belakang Description: 🤗. Ini adalah kerana semua aspek kehidupan dibiasa-biasakan sahaja.

Contohnya, di dalam bidang pendidikan. Jika orang-orang biasa-biasa menjadi guru, bagaimana pula keadaan murid-murid mereka? Orang tua-tua kata “jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Semua anak murid boleh diberikan “A” bagi setiap mata pelajaran tetapi nilainya pun “biasa-biasa” sajalah. Kalau dapat “A” yang bersusun pun di universiti, bila masuk bekerja tak tahu apa yang nak diamalkan.

Masyarakat yang sudah membudayakan “biasa-biasa” tidak akan memperdulikan siapa yang diangkat sebagai pemimpin. Hanya setakat “orang kita” atau pun “puak kita” sudah cukup. Kalau ada gelaran, lagilah nampak layak walaupun kadang-kadang mereka pun tak faham bagaimana gelaran tu dikurniakan. Sudah berapa ramai orang-orang bergelar sudah dipenjarakan.

Di dalam hadis Jibrail yang terkenal itu, selain dari Iman dan Islam ada juga Ihsan. Apabila kita sentiasa sedar kita diperhatikan oleh Allah, bukan sahaja kita takut berbuat dosa tetapi tentunya mahu cemerlang di dalam setiap tingkah laku kita. Inilah sebabnya Ihsan juga ditafsirkan sebagai kecemerlangan atau pun excellence. Konsep ini separutnya mendorong orang Islam menjadi hebat dan keluar dari budaya “biasa-biasa” sahaja.

Jika kita mahukan setiap aspek kehidupan menjadi ibadah kepada Allah, tentunya sifat “biasa-biasa” ini tidak sesuai. Kena ada penambahan prestasi di dalam apa sahaja yang kita lakukan dari solah sehinggalah pekerjaan harian. Nak buat dosa seperti rasuah dan salahguna kuasa jauh sekali. Jika kita seorang pekerja, kita akan pastikan prestasi kerja kita sudah cukup untuk menghalalkan gaji yang kita terima setiap bulan. Malah ditambah itu dan ini agar nampak lebih cantik apabila dihisab oleh Allah di akhirat.

Semoga memberi manfaat, والله أعلم