Dividen RM50 bilion: Kenapa Pemuda Umno - BN tidak ulang hujah jarah dana Petronas?






 Pembayaran dividen khas oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM25 bilion menjadikan keseluruhan pembayaran dividen kepada kerajaan tahun ini mencecah RM50 bilion dikhuatiri mengurangkan rizab syarikat petroleum negara itu.


Bagi Timbalan Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan, Adam Adli Abdul Halim, jumlah bayaran tersebut tidak jauh beza berbanding RM54 bilion, termasuk sejumlah RM30 bilion dividen tambahan yang diterima oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 lalu dalam menyelesaikan masalah tunggakan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak diurus dengan betul oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak sebelumnya.


Cuma, kata beliau, ketika itu Pemuda Umno menghentam kerajaan PH kononnya telah menjarah dan memerah duit Petronas, sedangkan kritikan yang sama tidak dilemparkan terhadap pentadbiran PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini


"Harus diingatkan, dividen khas yang dibayar oleh Petronas pada 2019 dahulu adalah bagi menampung tunggakan bayaran balik GST selepas kerajaan Barisan Nasional, dengan secara salah, tidak memindahkan kutipan cukai berkenaan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 ketika itu.


"Oleh itu, kita wajar menuntut jawapan dan respons dalam isu ini, terutama daripada pemimpin-pemimpin yang pernah lantang mengkritik termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Saudara Asyraf Wajdi yang masih belum bersuara apabila kerajaan yang PM dan Menteri Kewangannya adalah pempimpin kanan dari parti serta gabungan pemerintah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu bertanya lagi, apakah Ketua Pemuda Umno atau pemimpin kerajaan yang pernah mengkritik dahulu itu selepas ini akan menarik semula kritikan mereka terhadap langkah Kerajaan PH dahulu.


Selain itu, beliau juga membangkitkan komen pimpinan Kerajaan BN - PN yang menyarankan supaya Petronas membayar lebih tinggi hasil kepada Kerajaan Persekutuan.


"Jika diteliti semula, kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang memerintah hari ini telah pun membuat unjuran bagi tujuan mendapatkan sumbangan dan dividen daripada Petronas pada jumlah yang lebih tinggi daripada apa yang diterima ketika PH.


"Dalam laporan yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad, Petronas sepatutnya dianggarkan menyumbang sebanyak RM55 bilion hingga RM59 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.


"Jangkaan itu termasuk sumbangan dalam bentuk dividen, cukai korporat, cukai petroleum, cukai makmur, bayaran tunai hasil petroleum, serta duti eksport," katanya.


Bagaimanapun Adam menasihatkan kerajaan BN agar tidak meminta terlalu banyak dana dari Petronas sehingga membebankan syarikat petroleum itu dan mungkin akan mengurangkan peruntukan untuk pelaburan carigali serta penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pada masa hadapan.


"Meyakini keupayaan dan integriti pengurusan semasa Petronas, menjadi harapan agar Petronas dalam mengumumkan pemberian sumbangan dan dividen kepada kerajaan telah pun mengambil kira kemampuan dan daya saing syarikat, selain aspek penampan serta keupayaan berhadapan dengan sebarang ketidaktentuan.


"Pihak kerajaan pula digesa mengamalkan ketelusan agar dapat dipastikan segala perbelanjaan daripada hasil sumbangan dan dividen Petronas itu digunakan secara betul, bukan menampung kepentingan pihak tertentu, menampal kerugian akibat keculasan kerajaan BN - PN, apatah lagi bagi tujuan berkait kepentingan dalam pilihan raya akan datang," katanya lagi.

No comments: