*ISLAM DAN MELAYU TIDAK TERANCAM DI BAWAH PENTADBIRAN PAKATAN, KATA PEMIMPIN AMANAH*

 


WALAUPUN kehilangan kerajaan persekutuan akibat beberapa siri pengkhianatan yang dimulakan oleh Langkah Sheraton, bekas menteri agama Dr Mujahid Yusof Rawa berkata orang Melayu akhirnya menyedari Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang lebih baik.


Bercakap kepada The Malaysian Insight, Mujahid berkata isu Islam dan Melayu diancam semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad ketika memimpin PH, hanyalah tuduhan tidak berasas dan digunakan tanpa fakta.


Bekas ahli PAS itu menegaskan sehingga hari ini, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob kini masih belum menyelesaikan pelbagai perkara membabitkan masyarakat Islam.


“Umno dan PAS ketika menjadi pembangkang mengelirukan rakyat apabila mereka menuduh PH menjual Islam dan Melayu. Terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap kami tetapi tidak ada yang disokong dengan fakta.


“Kami berada dalam kerajaan selama 22 bulan, dan jika kami dibenarkan untuk menyelesaikan mandat kami, saya fikir hari ini, Umno dan PAS tidak akan mempunyai sebarang isu lain untuk digunakan terhadap kami kerana mereka menyebarkan pembohongan.


“Apa yang mereka katakan tentang isu sensitif dan menaikkan kebencian. Dia (Umno) pun tak dapat selesai isu kes Adib, isu pemandu mabuk, LGBT lagi teruk. Zaman saya, nak panggil Sajat nak tegur, ini sekarang dia lari terus ke Australia.


“Di mana Islam terancam semasa PH? Islam tidak pernah terancam,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.


Adib, yang merupakan anggota perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan balai bomba dan penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah semasa rusuhan di luar kuil di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.


Beliau meninggal dunia pada 17 Disember, 2018, selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara. 


Pada 27 September, 2019 mahkamah koroner memutuskan kematian Adib disebabkan oleh perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu yang tidak dikenali. 


Tiada seorang pun yang didakwa berhubung kematiannya. 


Sajat pula kini berada di Australia selepas diberi suaka di negara itu baru-baru ini berikutan penerbangannya ke Thailand yang mana beliau ditahan atas kesalahan imigresen.


Lelaki berusia 36 tahun itu berkata dia melarikan diri ke Thailand awal tahun ini kerana “didera dan diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan” oleh pegawai agama di Malaysia.


Beliau ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand bulan lalu kerana pasport yang tidak sah dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.


Mujahid berkata, Umno dan PAS tidak boleh lagi menggunakan isu agama dan kaum kerana rakyat Malaysia kini semakin matang.


Beliau berkata walaupun beliau mengkritik Umno dan PAS, kritikan beliau bukan bermaksud memperlekehkan agama.


“Sekarang isu Islam tidak dibela. Sekarang lebih teruk orang hina Islam. Setiap langkah itu ada hikmahnya,” tambahnya. – 12 Ogos, 2022.


https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/395845



No comments: