'Tun Mahathir terlupa beliau letak jawatan, salahkan Anwar tidak sokong jadi PM ke 8'

 


Kenyataan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad bahawa Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh politik yang menjadi punca beliau gagal kekal sebagai ketua kerajaan sehingga hari ini amat menjengkelkan.

Bagi calon Naib Ketua Cabang KEADILAN Sungai Buloh, Zainurizzaman Moharam, ungkapan Tun Mahathir itu seolah olah memberitahu bahawa beliau 'terlupa' dirinya sendiri sebagai punca menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar.

Katanya, peletakan jawatan PM tanpa berunding dengan pemimpin PH itu menyebabkan sokongan ke atas Mahathir hilang dan bukannya tindakan Anwar.

"Kenyataan Mahathir mutakhir ini mendakwa beliau masih lagi PM jika tidak kerana langkah Anwar Ibrahim adalah suatu yang melucukan. Beliau agaknya terlupa beberapa perkara penting.

"Antaranya beliau bersetuju untuk menjadi PM interim selama 2 tahun sehingga Anwar dibebaskan.

"Setelah PH berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ke 7 dengan mencatat rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, selain 2 kali dilantik ke jawatan nombor 1 itu.

"Namun kemudian Tun meletakkan jawatan pada Febuari 2020 selepas 'Langkah Sheraton' yang digerakkan oleh Tan Sri Mahiaddin dan Azmin Ali.

"Ini adalah langkah menghilangkan kepercayaan yang dibuat beliau, tetapi beliau masih meletakkan kesalahan kepada Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainurizzaman yang dikenali sebagai Zack di dunia twitter itu menambah, Tun yang terkenal dengan ungkapan 'Melayu mudah lupa' itu mungkin juga telah lupa bahawa beliau sentiasa berdolak dalik untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sehingga menimbulkan rasa tidak senang penyokong tegar PH.

"Beliau merupakan Pengerusi Majlis Presiden PH yang telah menandatangani surat perjanjian tetapi berdolak dalik untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim. Sekejap 2 tahun, sekejap selepas sidang kemuncak APEC, sekejap lagi ikut suka saya!

"Tun juga terlupa beliau orang yang berunding dengan ketua-ketua parti Pas dan Umno sebelum tercetusnya Langkah Sheraton. Kemudian beliau menamatkan riwayat kerajaan PH dengan meletak jawatan

"Jika Tun Mahathir lupa semua ini ketahuilah rakyat tidak pernah lupa," sinisnya.

Bagaimanapun Setiausaha Politik Farhash Wafa Salvador itu mempersoalkan apakah motif Mahathir aktif semula menjelang PRU ke 15.

Tindakannya muktahir ini, kata Zack, seolah olah mahu memecahbelahkan pembangkang dengan bayangan ingin mewujudkan khemah besar tetapi menyerang Datuk Seri Anwar.

"Apa yang pasti, matlamat Tun kembali adalah untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri.

"Anwar adalah mimpi buruk baginya jika berpeluang menjadi PM. Apa sahaja cara dan helah akan digunakan oleh Tun untuk menyekat Anwar.

"Justeru, negara ini perlukan perubahan total dan melantik kepimpinan yang benar-benar membela nasib rakyat bukannya untuk kroni, anak dan isteri. Insaflah Tun selagi hayat masih ada. Negara pasti aman tanpa Tun Dr Mahathir," katanya lagi.

Kelmarin, dalam temuramah Mahathir bersama Utusan Malaysia, beliau menyalahkan Datuk Seri Anwar sebagai punca kegagalannya menjadi PM buat kali kelapan apabila hanya memperolehi 62 sokongan ketika Yang di-Pertuan Agong meminta Ahli ahli Parlimen mengundi siapakah yang layak dilantik sebagai PM.

Bagaimanapun, kenyataan Tun itu ditempelak oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertegas menyatakan janji PH hanyalah untuk Mahathir menjadi PM ke 7 dan bukannya PM selepas itu.



No comments: