Mandat kerajaan berakhir Julai 2023, PM Ismail perlu berhati hati jika bubar Parlimen awal





Polemik bubar atau tidak Parlimen dalam tempoh terdekat antara pemimpin DAP dan Umno yang memanas sejak semalam tidak perlu diperpanjangkan kerana tempoh penggal kerajaan hanya akan tamat pada Julai 2023.



Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, jawapan PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa beliau tidak punya kuasa membubarkan Parlimen dan hanya mengharapkan Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permintaannya adalah tepat.



Namun, menurut Hassan, untuk apa Ismail perlu mengikut desakan pemimpin 'kluster mahkamah' Umno kerana tempoh berkuasa pemerintahan berbaki sehingga setahun daripada sekarang.



"Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen ke-14 berlangsung pada 9 Mei 2018. Jika dikira tempoh lima tahun untuk mengadakan PRU 15 maka tarikh tamat tempoh pada 8 Mei 2023.



"Tetapi ada tafsiran undang-undang menyatakan tempoh 5 tahun bermula apabila Ahli-ahli Parlimen Penggal ke-14 mengangkat sumpah, pada 16 Julai 2018.



"Ini bermakna tempoh lima tahun berakhir pada 15 Julai 2023. Jika 15 Julai diambil kira, dan katalah Parlimen dibubarkan pada tarikh tersebut maka undang-undang memperuntukan PRU 15 hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh menetapkan tarikh PRU pada atau sebelum 14 September 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.



Hal itu, jelas Hassan, boleh memberi tempoh berkuasa yang lebih bermakna kepada PM Ismail sekiranya beliau mahu meninggalkan legasi yang bermakna.



Namun katanya, jika Ismail tidak berdaya menghadapi tekanan pemimpin Umno lain beliau boleh membubarkan Parlimen lebih awal, tetapi PM perlu ingat sekiranya Agong tidak bersetuju maka maruah beliau sebagai ketua kerajaan akan merudum.



"Jika pada tahun hadapan PM mengadap Agong untuk menasihati Baginda di bawah Perkara 40(1) supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU 15 diadakan maka secara konvensyen Perlembagaan, Agong wajar menerima nasihat PM itu dan memperkenankan permohonan tersebut.



"Tetapi sebaliknya, jika esok atau seminggu dua ini atau bulan-bulan mendatang kerana didesak dan ditekan kiri kanan sehingga akhirnya PM menyerah kalah dan terus ke Istana Negara mengadap Agong untuk menasihatkan Baginda membubarkan Parlimen Malaysia ke-14, maka ada risikonya permohonan itu boleh ditolak.



"Aiblah seorang Perdana Menteri jika Yang di-Pertuan Agong menolak nasihatnya, seperti hal yang pernah berlaku ke atas PM sebelum ini.



"Ini mungkin barangkali, sebab mengapa Ismail Sabri perlu lebih berhati-hati supaya “pisang tidak berbuah dua kali”," kata Hassan dalam nasihatnya agar tidak mengulangi takdir menimpa Mahiaddin Yassin yang dimalukan sebaik sahaja pemintaan membubar Parlimen tidak diperkenankan.



Tambah Hassan, Ismail perlu sentiasa ingat bahawa Malaysia bukanlah negara kuasa rakyat sepenuhnya.



Tegas beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh menolak nasihat PM di bawah Perkara 40(2)(b). Agong boleh menggunakaan kuasa budibicara Baginda untuk tidak memberi izin terhadap permohonan pembubaran Parlimen lebih awal daripada tarikh yang wajar dan sepatutnya.



"Jadi kepada anggota Kluster Mahkamah, atau yang bukan Kluster Mahkamah tetapi sudah teruja sangat untuk kembali berada di koridor kuasa dan di puncak takhta, bersabar-sabarlah sedikit.



"Selesaikan dulu kes masing-masing di mahkamah. Adakan dulu pemilihan parti masing-masing. Kawal inflasi supaya tidak masuk ke tahap hyper-inflasi sehingga rakyat biasa boleh “mati”.



"Selepas keadaan sesuai dan selesa, dan penyakit Covid-19 benar-benar tidak lagi menjadi ancaman bahaya terhadap kesihatan awam, maka ketika itu silalah kita adakan PRU 15," katanya.



Justeru, kepada pemimpin BN - PN, Hassan berkata sinis 'tidak lari gunung dikejar' dan Festa Demokrasi Rakyat akan tetap diraikan apabila tiba saat yang sesuai.


No comments: