Tindakan Tun Mahathir Mohamad terus menerus merengek mengenai nasib dirinya yang hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebagai Perdana Menteri di bawah PH, walau sebelum itu sudah berkuasa selama 22 tahun bersama BN, dengan sendirinya telah mendedahkan busuk hatinya sendiri.
Apatah lagi dengan kenyataan terbaru beliau yang sekali lagi menyalahkan Anwar Ibrahim atas nasib malang yang menimpa dirinya itu.
Bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun yang sudah beberapa kali keluar masuk IJN itu berkata – “Kalau tak sabit dia (Anwar), saya masih Perdana Menteri lagi.”
“Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 Ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih.
“Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.
“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62,” katanya dalam interbiu tersebut.
Meskipun cerita sebenar yang melingkari isu perletakan jawatannya itu bukan lagi rahsia sama ada di bumi dan di langit di mana Tun Mahathir berbuat demikian secara tiba-tiba tanpa berunding dengan PH, enggan hadir mesyuarat PH selepas meletak jawatan dan sebelum itu terikat dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar yang dipersetujuinya sendiri, kenyataan terbarunya ini adalah bukti sahih beliau ingin jadi Perdana Menteri bukan saja setakat dua tahun, malah sehingga sekarang.
Bermakna, kenyataan demi kenyataan Tun Mahathir sebelum itu bahawa beliau akur dengan janji peralihan kuasa dan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar setelah dua tahun memegang jawatan adalah propa semata-mata.
Sebaliknya, niat sebenarnya ialah ingin jadi Perdana Menteri sampai sekarang iaitu sehingga tahun 2022 atau sehingga Parlimen PRU14 berakhir.
Jika tidak, takkan beliau menyebut – Kalau tak sabit dia (Anwar), saya masih Perdana Menteri lagi.
Ini juga bererti, dengan meletak jawatan dan mencalonkan dirinya sekali lagi, Tun Mahathir bukan saja mahu jadi Perdana Menteri buat kali ketiga iaitu sebagai PM8 pula, bahkan untuk terus memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar dan PH.
Sudah tentu jika jika dipilih lagi sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir akan terus berdalih mengenai janji peralihan kuasa kerana dengan mengatakan “kalau tak sabit Anwar, saya masih Perdana Menteri lagi” adalah bukti atau pengakuan bahawa memang berniat untuk “menipu” Anwar dan PH buat kali kedua bagi membolehkannya terus memegang kuasa sehingga sekarang.
Disebabkan tidak tercapai hajat untuk melakukan khianat buat kali kedua itu, maka beliau berasa begitu kecewa dan sakit hati kepada Anwar dan PH sampai kini.
Sepatutnya, setelah 22 bulan berpeluang menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tidak mencalonkan lagi dirinya kerana ketika itu tempoh janjinya memegang jawatan selama dua tahun sudah pun hampir berakhir.
Bukankah lebih bermaruah dan dipandang tinggi jika sebelum dua tahun atau 24 bulan janji peralihan kuasa sepatutnya berlaku, Tun Mahathir sedia menunaikan janji itu lebih awal lagi?
Maka, bukan saja dengan terus menawarkan diri lagi sebagai calon Perdana Menteri telah membuktikan Tun Mahathir mengkhianati janji, ia juga menunjukkan beliau sepanjang masa mempunyai hati yang busuk mahu menghalang kemaraan Anwar.
Dengan hanya memperolehi 62 sokongan berbanding 92 yang dimiliki Anwar, sepatutnya Anwar yang berhak menyalahkan Tun Mahathir, bukan Tun Mahathir terus menerus mengeluh dan merengek menyalahkan Anwar.
Tetapi, pernahkah kita dengar Anwar merungut menyalahkan Tun Mahathir?
Diberi lanjutan usia yang istimewa dan beberapa kali keluar masuk IJN, termasuk yang terakhir pada Januari lalu di mana beliau sendiri tidak percaya mampu sihat semula lantaran percaya ketika itu masanya untuk pergi benar-benar telah tiba, rupa-rupanya ini hikmah yang Tuhan mahu kita melihat daripada kesihatannya yang dipulihkan itu.
Makin hari makin terdedah segala niat tidak baik dan isi hatinya yang sebenar yang semua ini secara perlahan-lahan akan menghakis rasa hormat rakyat kepadanya. – ShahbudinHusin 06/06/2022.