ZURAIDA KELUAR BERSATU, KERAJAAN HILANG MAJORITI TIDAK BERLAKU

 

Spekulasi serta andaian beberapa pihak bahawa Ismail Sabri Yaakob dan kerajaannya akan hilang majoriti berikutan tindakan Zuraida Kamaruddin keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebenarnya adalah tidak tepat.

Ini kerana, meskipun Zuraida memaklumkan akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenai perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beliau dalam masa yang sama turut menegaskan akan tetap bersama dan menyokong kerajaan sedia ada pimpinan Ismail Sabri.

Sokongan yang sah kepada Perdana Menteri oleh seseorang itu adalah atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, bukan kerana letak jawatan daripada kabinet.

Yang mungkin berlaku selepas ini hanyalah Zuraida akan hilang jawatan menterinya berikutan perlantikannya sebelum ini adalah atas kouta Bersatu.

Kekosongan yang ditinggalkan Zuraida itu sudah pasti akan diisi oleh pemimpin Bersatu dan Mahiaddin tidak mungkin menunggu lama untuk menamakan calon pengganti itu.

Penegasan Zuraida yang melompat parti daripada Bersatu untuk menyertai PBM, tetapi kekal menyokong Ismail Sabri dengan sendirinya menyebabkan kedudukan majoriti kerajaan tidak tergugat apa-apa.

Dengan perletakan jawatan Zuraida sebagai menteri dan kedudukannya pula diganti oleh pemimpin lain daripada Bersatu, Ismail Sabri bukan saja boleh terus kekal di jawatannya, malah bebas pula melantik Ahli Parlimen Ampang itu memegang apa-apa jawatan lain seperti menerajui GLC, agensi kerajaan dan sebagainya untuk memblas budi sokongannya kepada kerajaan.

Jika Zuraida dilantik mengetuai GLC misalnya, beliau akan menuruti langkah Ahli Parlimen Julau, Larry Sg yang juga sebelum ini keluar PKR dan kini bersama PBM, tetapi menyokong kerajaan yang telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia atau MPOC.

Hal yang sama juga berlaku sebagaimana Khairuddin Attakiri, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang mengumumkan keluar Pas, namun kekal menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Hakikatnya, kedudukan seseorang itu yang berubah parti tidak akan menjejaskan majoriti kerajaan kerana yang diambil kira ialah sokongannya sebagai Ahli Parlimen.

Cuma, tindakan Zuraida melompat parti di saat-akhir penggubalan Akta Lompat Parti sedang dalam proses akhir untuk dibentangkan di Parlimen dengan jelas memperlihatkan akta tersebut begitu penting untuk diwujudkan di negara ini.

Tiada alasan lagi untuk menangguhkannya jika kita ingin melihat dunia politik lebih bermaruah dan tidak dicemari dengan fenomena “asal hujan saja mesti ada katak-katak yang ghairah ingin melompat”.

Cukuplah setakat ini dan biarlah Zuraida menjadi “katak terakhir” yang bebas melompat untuk mencari kenikmatan lain. – ShahbudinHusin 26/05/2022..

No comments: