Sindiket tipu pelaburan RM3.32 juta, ‘Datuk Seri’ palsu antara 9 ditahan

 

Polis menahan sembilan suspek, termasuk enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun, di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan individu, termasuk seorang lelaki yang menggunakan gelaran “Datuk Seri” palsu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan tidak wujud, Planetrade, dalam beberapa serbuan pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata semua suspek, termasuk enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, polis menerima 21 laporan berhubung penipuan itu, yang terdiri daripada 12 laporan di Kuala Lumpur, lima di Selangor, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Melaka dan Terengganu, melibatkan kerugian sebanyak RM3.32 juta.

“Siasatan mendapati lelaki yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu berusia 46 tahun itu merupakan dalang utama kes ini yang memiliki empat syarikat bagi menjalankan kegiatan pelaburan tidak wujud.

“Suspek lain merupakan ejen atau aktif mengendalikan syarikat serta kesemua mereka direman dua hingga empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini.

Beliau berkata, 27 akaun disyaki berkaitan kes itu yang berjumlah RM755,0000 serta pemilikan saham dalang utama itu di empat syarikat terbabit dibekukan bagi membantu siasatan.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan ialah enam kereta mewah, antaranya sebuah Bentley, dua Toyota Vellfire, sebuah Mercedes Benz GLC 200 dan pelbagai dokumen pendaftaran syarikat serta berkaitan pelaburan.

“Siasatan mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Januari 2021 dan menawarkan pembelian saham keutamaan atau ‘preference share’ yang menjanjikan kadar keuntungan tetap sekitar 4% hingga 5% sebulan daripada modal yang dilaburkan.

“Pelabur turut diyakinkan wang pelaburan dilabur dalam pelbagai medium pelaburan patuh syariah dalam dan luar negara bagi menjamin keuntungan besar dan stabil.”

Beliau berkata, siasatan itu turut mendapati ada seorang pelabur mengalami kerugian mencecah RM4.6 juta, tetapi mangsa belum tampil membuat laporan polis.

Pada peringkat awal, katanya, pelabur akan menerima keuntungan bulanan dijanjikan, namun sindiket itu tidak lagi berkomunikasi dengan mangsa selepas beberapa bulan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

No comments: