NAJIB WAJIB DIHADAP KEPADA J/K HAK DAN KEBEBASAN PARLIMEN



Berikutan ucapan membahas titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat semalam yang dilihat mengelirukan apabila mengatakan tiada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB, Najib Razak kini telah diadukan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Aduan tersebut dilakukan oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Menurut beliau, apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja mengelirukan, malah perbuatannya menghina Parlimen.

“Ini boleh disifatkan sebagai menghina majlis, secara spesifik dia telah hina Dewan Rakyat dalam beberapa perkara,” katanya.

Apatah lagi, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kemudiannya juga menyanggah kenyataan Najib itu.

Menurut Tengku Zafrul, Najib adalah silap apabila mengatakan tiada wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB kerana kerajaan telah pun membayar sejumlah RM6.5 bilion untuk faedah hutang tersebut.

“Bayaran faedah itu adalah daripada wang rakyat dan hutang prinsipal belum dibayar kerana tempoh matangnya masih lambat lagi,” ujar beliau.

Dengan sanggahan Tengku Zafrul itu, Najib bukan saja dianggap mengelirukan Dewan Rakyat, malah seperti cuba menyelewengkan fakta demi untuk memperlihatkan dirinya seolah-olah bersih daripada skandal 1MBD.

Najib seharusnya sedar, membayar faedah adalah sebahagian daripada urusan membayar hutang dalam sistem perbankan konvensional.

Ia seperti kita berhutang membeli rumah selama 25 tahun misalnya, beberapa tahun awal selepas perjanjian ditandatangani adalah pembayaran faedah semata-mata.

Soalnya, sebagai kerajaan, apabila ia membayar faedah hutang tersebut, daripana manakah wang itu diperolehi jika bukan daripada wang milik rakyat?

Sebab itu, dalam hal ini, perbuataan Najib yang senang-senang dan seolah-olah berfantasi mengatakan tiada wang rakyat digunakan untuk menbayar hutang 1MDB adalah perbuatan yang sangat jelas mengelirukan Dewan Rakyat.

Lagi pun, Najib sudah berada di luar kerajaan, jauh sekali mengetahui urusan perbelanjaan wang kerajaan sebagaimana kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan.

Sudah tentu, penjelasan Tengku Zafrul lebih dipercayai berbanding sembang Najib itu.

Maka, Speaker Parlimen seharusnya menerima usul Tony Pua untuk merujuk Najib kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen itu sebagai pengajaran kepadanya. – ShahbudinHusin 04/03/2022.


 

No comments: