DAH LA MENJADI MENTERI PALING LEMAH...MALAS PULAK

 

Rina tak hadir taklimat JKMPay, kata NGO





facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Sebahagian daripada 100 ahli komuniti OKU berkumpul di sepanjang
 Jalan Parlimen pada Selasa untuk membantah pelaksanaan JKMPay.

PETALING JAYA: Gabungan 11 badan bukan kerajaan (NGO) menafikan dakwaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, berhubung konsultasi sudah dilakukan dengan penerima skim bayaran bantuan tanpa tunai JKMPay.

Kumpulan itu mendakwa Rina dan timbalannya tidak menghadiri sesi libat urus itu.

“Sesi libat urus yang dianjurkan kementerian amat mengecewakan. Taklimat (berhubung JKMPay) hanya satu daripada agenda ketika sesi soal jawab pendek. Beberapa soalan kami mengenai JKMPay juga tidak dijawab,” kata kumpulan itu.

“Melalui jawapan menteri (di Dewan Rakyat), jelas tiada sebarang konsultasi dilakukan.”

Kumpulan berkenaan berkata, kajian pertama dibuat pihak kementerian berhubung skim itu dilaksanakan secara tidak adil kerana penerima pernah menerima elaun dan bantuan dalam bentuk tunai sepenuhnya.

Mereka juga menolak dakwaan Rina bahawa JKMPay bertujuan melindungi wang orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas daripada disalahgunakan serta mendapati beliau menghina mereka dengan menggambarkan golongan itu lemah serta tidak mampu merancang perbelanjaan sendiri.

Merujuk dakwaan Rina membabitkan OKU akan menerima diskaun dan rebat di bawah JKMPay, kumpulan itu berpandangan, mereka yang berpendapatan lebih RM1,500 yang tidak layak menerima insentif Elaun Pekerja OKU (EPOKU) akan semakin terpinggir.

“Ini jelas menunjukkan JKMPay tidak mesra OKU. Kami mahu JKMPay dimansuhkan.

“Tetapi, sekiranya kementerian memerlukan kajian ini untuk menjustifikasi pemansuhan JKMPay, kami mahu semua OKU terlibat dalam kajian kali ini dan kami mendesak wakil OKU memantau teliti setiap proses sebelum hasil kajian dibentangkan.”

NGO berkenaan berkata, mereka bersatu untuk memastikan skim itu dimansuhkan kerana ia tidak membabitkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan membuat keputusan.

Kumpulan itu menambah, JKMPay lebih banyak menyusahkan daripada memudahkan mereka.

“Kami juga meragui ketelusan pelaksanaan JKMPay yang melibatkan pengurusan wang pembayar cukai,” katanya.

Di Dewan Rakyat semalam, Rina menjawab dakwaan kementeriannya tidak mengadakan konsultasi dengan komuniti OKU dalam melaksanakan JKMPay, yang kini ditangguhkan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, dalam jawapan kepada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), menteri itu tidak memperincikan sama ada konsultasi dibuat sebelum projek rintis kontroversi itu dilancarkan April lalu.

Kira-kira 100 ahli komuniti OKU berkumpul di sepanjang Jalan Parlimen, pada Selasa bagi membantah skim terbabit.

Di bawah JKMPay, separuh bantuan tunai diagihkan menerusi kad tanpa tunai yang boleh digunakan di 250 kedai berdaftar dengan Bank Islam Malaysia Berhad.

No comments: