KEMENANGAN SELESA BN HANYA JADIKAN ISMAIL SABRI HILANG KEKUATAN BERTAHAN TEKANAN BUBAR PARLIMEN

 

Semua orang secara umumnya sedar keputusan PRN Johor pada 12 Mac ini akan memberi kesan kepada kedudukan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Berselindung di sebalik inginkan kestabilan, kemenangan BN, lebih-lebih lagi jika menang dengan majoriti dua pertiga, ia adalah alasan paling ampuh untuk UMNO menekan Ismail Sabri bagi mempercepatkan PRU15.

Bersandarkan bahawa kemenangan di Johor adalah petanda sokongan rakyat semakin jelas sudah kembali kepada BN dan dengan itu, tarikh PRU15 kononnya tidak harus ditangguh-tangguh lagi.

Bahkan gendang orkestra mendesak Ismail Sabri menyegerakan PRU15 dijangka akan lebih bergema sebaik saja bermulanya Perhimpunan Agung UMNO atau PAU pada 16 Mac ini, iaitu empat hari selepas keputusan PRN Johor.

Apabila BN menang bergaya, Ismail Sabri yang hanya merupakan Naib Presiden UMNO akan berdepan kesukaran untuk tidak akur kepada desakan melalui PAU itu yang kita tentunya tahu bahawa Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan bekas Presiden UMNO adalah penggerak kuat di belakangnya.

Mahu tidak mahu, beliau kemudiannya terpaksa dengan berat hati mengadap Yang Dipertuan Agong untuk menasihati baginda berkenaan pembubaran Parlimen.

Kiranya itu yang berlaku, ia bukan saja merupakan kejayaan Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Najib Razak untuk mempercepatkan PRU15 sebelum pemilihan UMNO yang mesti diadakan sebelum 29 Disember tahun ini, bahkan ia juga adalah kejayaan menamatkan karier Ismail Sabri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Persoalan penting ialah apakah PRU15 benar-benar sesuai diadakan selepas PRN Johor dan mampu menjamin kemenangan?

Dengan PRU15 didesak diadakan sebelum pemilihan UMNO, selain untuk kepentingan hayat politik pemegang jawatan sedia ada, Ismail Sabri dalam masa yang sama hampir pasti bukan calon pilihan untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri lagi.

Kalau pun bukan Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau masih berdepan perbicaraan di mahkamah atau Najib disebabkan sudah didapati bersalah, kedua-dua mereka pasti lebih selesa meletakkan Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO sebagai calon baru berbanding Ismail Sabri.

Begitu pun, oleh kerana PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO, Zahid Hamidi selaku Presiden dan Najib sebagai bekas Perdana Menteri yang sentiasa memperlihatkan pengaruhnya dalam parti akan berperanan besar menentukan senarai calon-calon untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen dalam PRU15 nanti.

Bermakna, jika pun Mohamad Hasan berjaya menjadi Perdana Menteri, tempohnya tidak mungkin lama dan selepas itu gandingan Najib dan Zahid Hamidi, sudah tentu selepas semua kes mahkamah mereka selesai, akan kembali semua memimpin negara.

Lalu, bagaimana Ismail Sabrii boleh diselamatkan kedudukannya?

Harus difahami, menyelamatkan kedudukan Ismail Sabri agar terus menjadi Perdana Menteri atau terlepas daripada desakan untuk membubarkan Parlimen bukan bererti untuk menyelamatkan jawatan bagi kepentingan peribadinya, tetapi lebih untuk masa depan UMNO dan memastikan proses peremajaan dalam kepimpinan parti serta kerajaan berjalan dengan seiring.

Apabila Ismail Sabri yang berusia 62 tahun menjadi Perdana Menteri, kalau pun beliau mahu digantikan, ia mestilah dengan meletakkan pemimpin yang lebih muda daripadanya.

Menggantikan Ismail Sabri dengan Mohamad Hasan yang lebih berusia, kemudian baton mungkin beralih semula kepada Najib dan Zahid Hamidi yang selain sama-sama tua, malah telah pernah memegang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, ia benar-benar suatu langkah berundur ke belakang yang sama sekali tidak baik untuk masa depan UMNO.

Untuk memastikan proses peremajaan dan golongan muda diberi ruang lebih luas menjadi pemimpin, dalam keadaan sekarang, satu-satunya cara terbaiknya ialah dengan mengekalkan Ismail Sabri lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri bukan saja tidak wajar didesak mempercepatkan PRU15, bahkan paling wajar diberi keselesaan membubarkan Parlimen selepas pemilihan UMNO dilangsungkan.

Dengan wajah baru kepimpinan UMNO berjaya ditampilkan, manakala wajah lama, terutama yang ada kes mahkamah seharusnya ditunjukkan jalan menuju persaraan, itulah sebenarnya perubahan yang lebih mampu menarik minat rakyat apabila PRU15 diadakan kelak.

Dalam hal berkaitan, Ismail Sabri atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, mesti diberi kekuatan bermula dengan PRN Johor ini untuk menjelmakan wajah baru UMNO itu.

Kekuatan itu hanya akan menjelma sekiranya BN tidak menang selesa, gagal mencapai majoriti dua pertiga atau lebih baik jika kalah dalam PRN Johor ini.

Sebaliknya, kalau BN menang selesa, apatah lagi andai menang bergaya, ia sebenarnya hanya memberi lebih kekuatan kepada Najib dan Zahid Hamidi untuk terus menekan agar PRU15 diawalkan, seterusnya menjadikan UMNO sebagai perisai mereka, namun parti akan hilang sama sekali peluang menonjolkan wajah baru, segar dan muda kepada rakyat jelata.

UMNO adalah parti yang sudah tua, tetapi kemudaannya boleh dijelmakan melalui keupayaan menampilkan wajah-wajah baru dalam barisan kepimpinannya sebelum berdepan pilihanraya. – ShahbudinHusin 10/03/2022.