1MDB dan skandal lain: Apabila malu hilang maknanya di
Malaysia
Apabila sifat malu
meninggalkan negara kita, kita sudah tidak punya apa lagi
By
2022
Sifat malu bolehlah
diterangkan sebagai sebuah perasaan aib yang terpaksa ditanggung atau
menyedihkan diakibatkan oleh kesedaran akan tindakan salah atau bodoh.
Sifat malu menjelma
dalam minda manusia sekali gus meninggalkan rasa kesal yang mendalam ke atas
sesebuah keadaan atau tindakan.
Kitab agama kebanyakan
agama utama dunia memberi begitu banyak pengajaran dan menekankan sifat malu.
Kajian psikologi yang meluas juga banyak menyentuh tentang sifat malu. Ahli
falsafah juga memberikan buah fikiran mereka tentang hal ini sepanjang
peradaban manusia.
Sejak bermulanya kes
1MDB di bilik mahkamah New York, tak seorang patut dipersalah jika ada yang
merasakan bahawa perasaan malu itu sudah lenyap maknanya di Malaysia.
Begitu ramai yang merasa tidak malu melihat bagaimana perincian kes dikongsikan di bilik mahkamah serta dipampang di kolum akhbar seluruh dunia. Mereka langsung tidak malu bahawa ada seseorang itu walaupun sudah dijatuhkan hukuman di mahkamah negaranya sendiri masih kekal bebas seperti seekor burung kononnya kerana sedang “menantikan keputusan rayuan”.
Mereka langsung tidak
malu berarak dengan penuh bangga sambil berkumpul beramai-ramai dan
meneriakkan, “Malu apa, bossku?!”
Mereka langsung tidak
malu bahawa ada seorang lagi yang masih bebas, yang pihak berkuasa tidak
berupaya langsung untuk menangkap dan menyerahkannya kembali ke Malaysia untuk
dibicarakan.
Bukan itu saja. Mereka
juga seakan-akan tidak malu dengan gelaran kehormat yang diberikan dengan niat
baik serta penuh maruah masih tidak ditarik balik, walhal seluruh dunia tahu
bagaimana dosa sosok yang terlibat dengan kebrobokan dana 1MDB.
Terdapat beberapa hal lain juga yang patut diperhatikan di mana sikap malu kita sebagai sebuah negara dengan jelas seperti menanggung biawak hidup.
Perniagaan di Malaysia
tidak meras malu apabila mereka didenda dengan berat oleh pihak berkuasa asing
kerana melanggar hak asasi manusia serta perundangan berkaitan dengan buruh
paksa. Mereka hanya berbasa-basi menggunakan taktik perhubungan awam (public
relations tactics) bagi menyalut kelakuan mereka yang memalukan itu.
Beberapa penjawat awam
berpangkat tinggi juga menjadi tajuk utama akhbar kerana tindakan yang cukup
meragukan. Namun, bagi mereka, dimalukan di ruang awam sedikit pun tidak
memberi kesan kepada mereka.
Kita juga mendengar
bagaimana wujudnya kartel yang bergerak dalam pihak polis kita. Kita juga tahu
tentang ‘kluster mahkamah’ di negara kita. Mana rasa malu kita semua?
Paling memalukan, dosa
menyonglap dan salah guna kekayaan negara kita ini sekali gus mengakibatkan
kerugian besar kepada rakyat Malaysia – dulu, kini dan masa hadapan.
Kita mungkin tidak berupaya
mengubah Malaysia menjadi syurga di bumi. Namun, adakah kita hanya mahu
membiarkan saja perkara yang memalukan ini untuk berterusan?
Bahkan tentang hal
penyebaran dan perlindungan agama, kita melihat bagaimana tangan mereka yang
tidak tahu malu itu bergerak. Kes melibatkan pertukaran agama sepihak
melibatkan konflik bidang kuasa pusat dan negeri juga menunjukkan bagaimana
kita semakin tidak malu sebagai sebuah masyarakat.
Kegagalan paling jelas
dalam menghentikan pencabulan hutan simpan serta penjarahan hasil bumi menjadi
satu penanda jelas tentang betapa berleluasa hilangnya sifat malu kita – dari
mereka yang di tampuk kuasa sehinggalah para usahawan tamak yang bebas
melakukan apa saja sampailah kepada mereka yang tidak kisah sedikit pun.
Adakah kita tidak tahu tentang kes penderaan pekerja domestik yang tidak dibayar gaji mereka selama bertahun lamanya? Adakah kita tidak tahu ramai warga Malaysia – termasuklah majikan kaya-raya – masih mengeksploitasi pekerja asing menggunakan pelbagai cara yang licik serta menindas?
Ramai di antara kita
yang mentah-mentah menolak berita ini tanpa rasa malu dengan mengatakan “Aiya,
jangan salahkan semua orang kalau yang buat hanya sedikit” atau pun “Ala,
korang tahu tak ada pekerja migran dan pembantu rumah asing yang jahat juga?”
Perasaan tidak malu
kita sebagai sebuah negara juga semakin jelas bila begitu ramai yang hanya
melepaskan tangan dan mengatakan “Apa boleh buat?”
Saatnya rasa malu itu
sudah meninggalkan negara ini, itulah saatnya kita sudah menjual jiwa negara.
Saatnya rasa malu itu bukan lagi hal yang perlu diperkiraan bagi mengukur
kemajuan serta kejayaan kita, kita sudah memajak negara kita ke sebuah ruang
rentan sekaligus menjadikan negara kita mudah untuk dieksploitasi oleh negara
penyangak lainnya.
Persoalannya, mengapa
kita semakin menjadi tidak malu?
Kita mendengar
bagaimana di negara lain, ada pemimpinnya yang letak jawatan bagi menebus rasa
malu mereka serta menyelamatkan negara mereka dari dimalukan.
Kita juga mendengar
bagaimana para usahawan di seluruh dunia yang mengakui dan menyesal akan salah
laku mereka, lalu meletak jawatan dari kedudukan mereka.
Kita juga membaca
bagaimana selebriti antarabangsa yang cepat-cepat memulangkan hadiah dari duit
haram yang diterima mereka ketika awal-awal skandal 1MDB dibongkar. Namun tidak
ada seorang pun yang terlibat menunjukkan rasa malu di Malaysia.
Ramai di antara kita
yang tidak merasa malu untuk menipu atau bergelumang dengan tindakan tidak
beretika, bagi membuat untung melihat kepada sekelumit peluang yang ada, untuk
membuang sisa toksik ke dalam sungai kita berulang kali, untuk menayang
kekayaan yang cukup meragukan itu.
Ramai yang tidak malu untuk membuang prinsip, falsafah dan ajaran agama asalkan semua kepentingan sendiri beres.
Tengoklah, ada juga
yang membenarkan Langkah Sheraton yang sebegitu jahat bagi mencantas demokrasi
pilihan raya kita. Takkan tiada seorang pun di antara kita yang boleh
menghentikan semua rentetan yang memalukan ini?
Alangkah malunya kita
semua!
Terjemahan oleh: Zikri
Rahman