‘RULE OF LAW’ SUDAH HANCUR DI BAWAH ISMAIL SABRI – MOHAMAD SABU

 

Pada suatu ketika dahulu, saya hendak dituduh di mahkamah di atas dakwaan menghadiri perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

Masa itu saya merupakan Timbalan Presiden PAS, didakwa bersama beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat.

Pada hari berkenaan saya dan keluarga mempunyai urusan perkahwinan anak ke Ipoh, pihak polis memaklumkan bahawa mereka hendak menyerahkan waran untuk hadir ke mahkamah.

Saya telah menyatakan kepada polis bahawa saya bersedia untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan sebaik urusan anak menantu selesai.

Namun sewaktu dalam perjalanan, berhampiran tol juru, pihak polis membuat sekatan jalan raya dan menahan rombongan pengantin.

Saya tidak mahu menyerah diri kerana saya sudah membuat perakuan untuk hadir ke mahkamah keesokan harinya.

Pihak polis bagaimana pun bertegas mahu menahan saya, mereka memecahkan cermin kereta dan menahan saya secara kasar dihadapan rombongan pengantin.

Saya dibawa ke Balai Polis Nibong Tebal dan kemudiannya dibawa ke Kuala Lumpur ditahan di dalam lokap dan dibawa ke mahkamah keesokan harinya.

Hampir dua tahun kes dibicara di mahkamah kerana saya didakwa melawan penjawat awam, tetapi akhirnya saya menang kes tersebut.

Saya nyatakan walaupun saya diperlakukan sedemikian, namun saya memuji ketegasan pihak polis, supaya mereka yang dituduh di mahkamah, perlu hadir apabila mendapat arahan.

Tetapi apabila berlaku kepada Datin Sri Rosmah Mansor, beliau tidak hadir ke mahkamah, bahkan waran tangkap pun tidak ada.

Ini menunjukkan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) telah hancur di bawah pemerintahan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan sokongan PAS dalam kerajaan.

Rule of Law sudah tiada dan tidak dihormati langsung!

MOHAMAD SABU

Presiden Amanah



No comments: