Adakah Rosmah akan pulang, hadiri mahkamah pada Isnin? soal Pemuda Bersatu

 

Pemuda Bersatu menggesa pihak berkuasa membatalkan pasport Rosmah Mansor dan membawanya pulang ke Malaysia kerana gagal hadir di Mahkamah Rayuan dua hari lalu, kata Ketua Penerangan Mohd Ashraf Mohd Ashraf Mustaqim. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemuda Bersatu mempersoalkan sama ada Rosmah Mansor akan menghadiri prosiding rayuannya ini Isnin bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Ketua Penerangannya Mohd Ashraf Mustaqim membangkitkan perkara itu dengan mendakwa maklumat diperolehinya menunjukkan Rosmah masih berada di Singapura.

Beliau membangkitkan keraguan itu apabila Rosmah juga gagal pulang sebelum 21 Nov seperti disyaratkan mahkamah.

“Beliau sepatutnya pulang sebelum 21 Nov…dan selepas pulang kena lalui proses kuarantin. Peguam mengatakan beliau akan hadir sesi rayuan di mahkamah Isnin ini.

“Persoalannya adakah beliau sudah ada di Malaysia atau masih lagi ada di Singapura, sebab beliau kena kembalikan pasport 6 Dis dan perlu hadir sesi prosiding rayuan pada hari sama…takkan balik sampai terus boleh ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Katanya, pihaknya membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa membatalkan pasport Rosmah Mansor dan membawanya pulang ke Malaysia kerana gagal hadir di Mahkamah Rayuan dua hari lalu.

“Mahkamah sebelum ini menetapkan memulangkan sementara pasport Rosmah untuk ke Singapura dengan syarat hanya dari 22 Okt hingga 21 Nov, dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya 6 Dis.

“Malangnya, Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan terhadap sistem keadilan negara.

“Kita minta polis siasat dan tindakan diambil kalau tidak sistem perundangan negara, sistem kehakiman dan pihak berkuasa akan ditertawa oleh negara luar,” katanya.

Beliau juga mempersoal mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membantah apabila Rosmah memohon untuk ke Singapura.

“Kita minta mahkamah layan Rosmah macam kes perbicaraan rakyat biasa yang lain,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Rosmah sepatutnya balik pada 21 Nov lalu, tetapi peguam Jagjit Singh hanya memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya 10 minit sebelum mahkamah bersidang.

Jagjit dilaporkan berkata, anak guamnya masih berada di Singapura. Beliau mengaku ia pelanggaran perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 15 Okt lalu, untuk membenarkan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu menemani anaknya bersalin.

No comments: