BOLEH PERCAYA KAH HARGA BARANG INI BOLEH TURUN ?

 

4 barang keperluan turun harga mulai esok, kata KPDNHEP




Empat barangan berkenaan terlibat dalam pelarasan semula harga
 sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

BUKIT MERTAJAM: Ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, keempat-empat barangan itu terlibat dalam pelarasan semula harga sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

“Empat harga barang baharu berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan semula harga yang dibuat dengan mengambil kira situasi serta lokaliti sehingga 4 Feb nanti.

“Antara contoh penurunan bermula esok adalah harga ayam, iaitu daripada RM9.30 kepada RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran berkenaan, turun lima hingga 10%,” katanya selepas program ‘walkabout’ operasi ‘Back To School’ (BTS) dan SHMMP di Pasar Raya Mydin di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, menerusi SHMKM pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 25,897 premis perniagaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu mengesan 85 kes pelbagai kesalahan perniagaan yang membabitkan nilai kompaun RM20,000 setakat semalam.

Beliau berkata, kompaun itu antaranya membabitkan kesalahan berkaitan perbuatan menjual barangan keperluan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak meletakkan tanda harga.

Sementara itu merujuk kepada BTS Azman berkata, operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang keperluan sekolah sewenang-wenangnya dan mematuhi peraturan kawalan harga ditetapkan.

“Operasi ini dilaksanakan bermula 13 Dis lepas hingga 20 Mac tahun depan membabitkan sembilan jenis barangan keperluan sekolah yang terdiri daripada pakaian sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan peralatan pembelajaran. Setakat ini kami telah periksa 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan,” katanya.


No comments: