Bahaya penduduk Gebeng berjiran dengan 'radioaktif' - Lee Chean Chung



Kelulusan membina Pelupusan Sisa Radioaktif (PDF) di Gebeng dianggap luar biasa kerana kawasan tersebut mempunyai manusia, aktiviti harian dan merupakan kawasan industri, bukannya kawasan terpencil tidak berpenghuni.

Menurut ADUN Semambu, Lee Chean Chung, kelulusan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bagi membina tapak pelupusan sisa radioaktif kilang Lynas tersebut perlu dikaji semula dari semua aspek.

"Ini merupakan satu kelulusan paling “luar biasa” pada tahun 2021. Sekiranya PDF dibina di tapak Gebeng, lebih 10,000 pekerja di sana dan beribu-ribu penduduk di 5 Kampung, 9 buah institusi pelajaran dan 12 taman perumahan akan “berjiran” dengan sisa radioaktif.

"Tapak Pelupusan Kekal (PDF) tersebut akan disimpan dengan sisa yang berunsur Thorium dan Uranium. Adakah sesuai untuk menyimpan sisa-sisa radioaktif ini di kawasan yang pesat dengan kegiatan manusia? Dalam jangka masa panjang, siapa yang akan mengurus dan menyelenggara kemudahan tersebut?

"Laporan Agensi Alam Sekitar (EIA) turut menyentuh hujan lebat akan mengakibatkan air dalam PDF melimpah keluar, dan mungkin mencemarkan Sungai Balok. Bukankah risiko ini bakal menjejaskan mutu hasil tangkapan ikan dan keselamatan air? Adakah keputusan kelulusan ini bertanggungjawab tanpa mengambil kira aspek tersebut?" tanyanya dalam satu kenyataan.

Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_34f2d1d8c153446cbd404fef6fac7058~mv2.jpg/v1/fit/w_300,h_219,al_c,q_20/file.jpg

Bantahan kilang Lynas sejak sedekad tidak diendahkan

Selain berdekatan dengan kawasan dipenuhi penduduk, menurut Chean Chung lagi, Gebeng mungkin tidak terkecuali daripada dilanda banjir besar pada masa hadapan, memandangkan perubahan iklim telah menyebabkan kawasan Karak dan Bentong yang tidak pernah dilanda banjir bandang mengalami kerosakan yang teruk dalam banjir pertengahan Disember lalu.

Katanya, jika tapak perlupusan sisa berkenaan ditenggelami banjir maka kesannya akan menjadi lebih buruk.

"Banjir yang berlaku kelmarin telahpun mencecah rekod paras air yang tinggi dalam tempoh 50 tahun. Kebanyakan tempat yang tidak pernah banjir telah tenggelam. Adakah EIA mengambil kira risiko perubahan iklim?

"Laporan turut menyatakan bahawa air bawah tanah tidak akan tercemar melainkan berlakunya kejadian luar biasa. Adakah kerajaan yang gagal mengesan banjir yang melanda minggu lepas, dapat memantau pencemaran air bawah tanah? Siapakah yang bertanggungjawab dan memberikan amaran awal?" katanya lagi.

Oleh itu, Chean Chung mahu pihak berkuasa mengkaji semula kelulusan yang diberi kerana di negara yang mempunyai industri berkaitan radioaktif, PDF biasanya dibina di kawasan gurun atau rizab Persekutuan yang tidak mempunyai penghuni, bukannya di tapak kawasan perindustrian.

 

No comments: