ISMAIL SABRI DAN PEMANDU KERETA YANG MASUK LONGKANG


 Ramai kini bertanya, bolehkah urusan negara berjalan seperti biasa tanpa ada Perdana Menteri mengetuai kerajaan?

Apa sebenarnya keperluan Perdana Menteri kalau keberadaannya pun seperti tidak terasa apa-apa?

Selain hanya Ismail Sabri Yaakob sendiri yang hidupnya kini berbeza kerana diringi kereta dan motorsikal peronda polis untuk ke mana-mana, manakala kita sebagai rakyat sekadar merasai kehadirannya bila mendengar bunyi siren polis yang mengiringinya kebetulan lalu sejalan atau berselisih dengan kita, apakah kelebihan lain yang boleh kita nikmati?

Akan mati tiba-tiba atau pendek umurkah kita jika tiada Perdana Menteri mengetuai negara ini?

Secara umumnya, negara kita ini diurus dan dipastikan ia berjalan dengan baik ialah melalui kewujudan jabatan-jabatan kerajaan dan peranan kakitangan awamnya.

Di situlah ada pelbagai jentera untuk menjaga rakyat, penguatkuasa undang-undang bagi memastikan kehidupan teratur dan pelbagai keperluan lain dalam kehidupan.

Kalau diumpamakan negara ini ibarat sebuah kereta, jabatan dan kakitangan awam adalah umpama enjinnya, sementara Perdana Menteri melalui kabinet dan parti yang mengetuai kerajaan pula memegang sterengnya bagi mementukan ke mana hala tuju kereta itu hendak dibawa.

Kita sebagai rakyat adalah penumpang kereta tersebut yang akan dibawa ke mana saja kehidupan kita oleh sesiapa yang memegang sterengnya.

Sebab itu, ke mana halu tuju negara akan kelihatan berbeza apabila Perdana Menteri atau parti yang berlainan memegang kuasa.

Melalui kuasa memegang stereng, walaupun enjin adalah penting, pemandu yang cekap dan berwibawa jauh lebih penting sebenarnya untuk sesebuah kereta.

Kereta yang mahal boleh jadi akan masuk ke longkang atau kemalangan jika pemandunya tidak cekap, apa lagi jika langsung tiada kemahiran pemanduan.

Dengan peranan sebagai pemegang stereng, seseorang Perdana Menteri juga harus bersuara, bercakap, memberi arahan dan menenangkan fikiran penumpang yang kadangkala pelbagai karenahnya.

Tetapi, selagi pemegang stereng itu seorang yang diyakini kemampuannya dalam memandu serta jelas ke mana kereta hendak dibawa, arahan atau cakapnya pasti akan sentiasa didengar dan dipatuhi oleh penumpangnya.

Dalam konteks Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekarang ini, adakah kita merasai peranannya sebagai pemandu dan pemegang stereng yang berwibawa?

Dapatkah kita merasa ke mana kereta yang sedang dipandunya kini hendak dibawa?

Adakah kita juga selesa menaiki kereta yang sedang dipandunya?

Atau kereta yang sedang berjalan sekarang hanya menggunakan pemanduan automatik yang semata-mata ia dapat bergerak disebabnya enjinnya masih berfungsi dengan baik, walhal pemandunya sekadar bersenang-lenang, tidak berbuat apa-apa dan kereta cuma berpusing-pusing tanpa arah?

Sampai bila kita mahu ada pemandu yang menyusahkan jiwa dan hidup kita itu? ShahbudinHusin 31/12/2021.