Kerajaan baharu akan gagal tanpa gencatan politik, kata penganalisis

 

Saintis politik, Wong Chin Huat berkata, keputusan penting perlu dibuat melalui Parlimen yang diperkasakan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mana-mana kerajaan baharu yang dibentuk untuk mengambil alih pengurusan pandemik akan gagal tanpa gencatan politik bagi memastikan kestabilan, kata seorang penganalisis.

Saintis politik, Wong Chin Huat mempersoalkan kelangsungan kerajaan perpaduan sementara kerana adalah lebih baik parti politik yang saling bercakaran mencapai penyelesaian biarpun di bawah kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak fikir menteri akan menyerahkan kuasa tanpa mensabotaj kerajaan seterusnya. Lebih baik beri mereka gaji tetapi mengecilkan bidang kuasa dengan meletakkan mereka di bawah kawalan Parlimen.

“Tanpa sebarang perjanjian gencatan, kerajaan baharu juga akan diserang dan tersungkur dengan cepat,” katanya kepada FMT.

Wong Chin Huat.

Ditanya sama ada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin harus meletak jawatan dan digantikan susulan dakwaan kegagalan kerajaan pimpinannya mengurus pandemik Covid-19, Wong berpendapat perkara lebih penting ialah peranan Parlimen diperkukuhkan.

“Ia bergantung kepada sebagus mana perdana menteri seterusnya dan sejauh mana beliau mampu bertahan. Jika ia adalah pertandingan perdana menteri mana yang berkhidmat paling singkat, saya lebih suka Muhyiddin kekal, tetapi keputusan penting perlu dibuat melalui Parlimen yang diperkasakan.

“Saya tidak percaya penyelesaian untuk politik Malaysia ialah seorang lagi ‘superman’, tidak kira yang berumur sembilan puluhan, lapan puluhan, tujuh puluhan atau orang muda.

“Beri saya struktur, baru kita boleh bincang penyelesaiannya.”

Beliau mengulas cadangan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang mahu veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai perdana menteri sementara sehingga pandemik reda dan pilihan raya umum boleh diadakan.

Awang Azman Pawi.

Cadangan itu menyusul pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu semalam.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka menemui pemimpin parti lain dalam beberapa hari ini sebelum mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang dijadualkan Rabu depan bagi membincangkan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Seorang lagi penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Parlimen perlu bersidang semula supaya isu mendesak seperti program vaksin dan pemulihan ekonomi boleh dibincangkan.

Azmi Hassan.

Mengenai persoalan sama ada Malaysia memerlukan perdana menteri sementara atau baharu, katanya: “Terpulang kepada Agong untuk mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan”.

Bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, negara kekurangan individu seperti Perdana Menteri Itali, Mario Draghi, yang mampu meraih sokongan daripada kedua-dua pihak.

“Saya tidak fikir Ku Li (Tengku Razaleigh) boleh meraih 100% sokongan daripada partinya sendiri. Begitulah perpecahan dalam situasi politik kita sekarang.”

No comments: