Selepas 72 hari, lelaki ditangkap bersama Ganapathy masih dalam tahanan

 

Sritharan Kukaneson dan isterinya, Krichana Kumarthi. Krichana pada mulanya dibenarkan melawat suaminya di IPD Gombak pada 16 April, tetapi lawatan dibatalkan kerana diberitahu Sritharan disyaki dijangkiti Covid-19.

GOMBAK: Seorang mekanik yang ditangkap bersama mangsa kematian dalam tahanan, A Ganapathy, masih berada dalam tahanan 72 hari selepas dia ditahan polis untuk membantu siasatan, menurut peguamnya.

Peguam S Vinesh, berkata Sritharan Kukaneson masih belum didakwa di mahkamah atas apa-apa tuduhan.

Ganapathy berada di bengkel milik Sritharan di Batu Caves pada 24 Feb ketika polis menahan mereka bagi membantu siasatan berhubung saudara Ganapathy.

Menurut Vinesh, anak guamnya juga dipukul polis ketika ditahan dan direman secara berangkai hingga 4 April.

Dia ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang membolehkan polis menahan suspek sehingga 59 hari tanpa perbicaraan.

Kementerian Dalam Negeri kemudian boleh memilih untuk membebaskannya, menahannya tanpa perbicaraan selama dua tahun lagi, atau mengusirnya ke daerah lain.

Isnin lalu, isteri Sritharan, Krichana Kumarthi, dibenarkan menemui suaminya buat julung kali sejak dia ditahan. Ketika itu dia mendakwa dipukul.

“Sritharan memberitahu kami bahawa setelah dia ditangkap, dia dibawa ke balai polis Batu Caves, diseret keluar, dan dipukul di tempat letak kenderaan bersama Ganapathy,” kata Vinesh kepada FMT ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

“Ya, dia seorang tahanan, tapi adakah itu beri hak kepada polis untuk memukulnya dan halang dia bertemu keluarga dan mendapatkan rawatan perubatan?

“Ada khabar angin yang mengatakan anak guam saya adalah saksi utama yang melihat Ganapathy dipukul. Saya hanya mahu siasatan yang adil dan telus di sini.”

Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April, sebulan selepas dia dimasukkan ke wad.

Peguamnya, K Ganesh, memaklumkan FMT sebelum ini bahawa bedah siasat ke atas Ganapathy, yang dilakukan oleh jabatan patologi Hospital Kuala Lumpur, mendapati bahawa dia meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu.

Kecederaannya sangat parah sehingga kaki kiri Ganapathy perlu dipotong supaya nyawanya dapat diselamatkan.

Terdahulu, ibu Ganapathy, S Thanaletchumy, dilaporkan mendakwa anaknya telah memaklumkan bahawa dia dipukul dengan paip getah oleh polis.

Namun, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe menafikannya, dengan berkata, tiada bukti Ganapathy dipukul dalam tahanan polis.

Kata Vinesh, beliau faham polis hanya “menjalankan tugas”, tetapi sangat penting untuk mereka cegah kematian lain dalam tahanan polis, terutama yang berkait Ganapathy.

“Kami bukan menyalahkan polis. Disebabkan mereka, kita selamat di rumah.

“Bagaimanapun, apabila sudah ada kematian berkait kes ini, mereka perlu melakukan sesuatu untuk menghalang perkara sama berlaku kepada orang lain,” kata beliau.

Vinesh berkata, beliau telah mengirim surat kepada Ketua Polis Negara (KPN), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, dan Arifai, bagi meminta siasatan dilakukan, dan penjelasan mengapa Sritharan masih berada dalam tahanan.

Krichana juga memberitahu FMT bahawa pegawai penyiasat kes suaminya akhirnya membenarkannya melawat Sritharan di IPD Gombak pada 16 April, tetapi lawatan itu dibatalkan kerana beliau diberitahu Sritharan disyaki dijangkiti Covid-19.

Vinesh dan Krichana tidak dapat memastikan sama ada Sritharan mendapat rawatan bagi Covid-19 ataupun telah dikuarantin.

“Saya tidak senang dengan cara mereka menangkapnya. Mereka tidak beri kami maklumat, mereka menahannya bawah reman berangkai, kemudian meletakkannya bawah POCA,” kata Krichana.

“Suami saya memberitahu dia dipukul di tempat letak kenderaan di balai polis Batu Caves. Adakah saya dihalang melawatnya kerana polis hendak sembunyi kecederaannya?”

Ketika dihubungi, Arifai enggan memberikan komen mengenai kes Sritharan kerana kata beliau, ia masih dalam siasatan.